Saturday, December 27, 2008

BANJIR : JALAN RAYA PADAS DAMIT PERLU DINAIKTARAF

BEAUFORT: Jalan dari pekan ini ke Padas Damit, di sini perlu ditinggikan bagi mengatasi masalah sering ditenggelami banjir akibat limpahan Sungai Padas yang menyebabkan beberapa kampung terputus perhubungan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lumadan, Kamarlin Ombi, berkata langkah itu perlu disegerakan bagi mengatasi kesukaran penduduk, selain memudahkan kerajaan menyalurkan bantuan ketika banjir. "Jika bahagian jalan raya yang rendah ditinggikan, kenderaan dapat melaluinya. Ini memudahkan kita menghantar bantuan ketika banjir dan melaksanakan kerja menyelamat.


"Ketika ini, penghantaran bantuan terpaksa menunggu air surut bagi membolehkan kenderaan melaluinya," katanya selepas mengagihkan bantuan kepada mangsa banjir di Kampung Suasa, di sini semalam. Beliau berkata, walaupun bot digunakan untuk menghantar bantuan kepada mangsa banjir, penggunaannya terhad hanya di kawasan tertentu. Katanya, ada kampung yang dilanda banjir tidak dapat dihubungi dengan bot, menyebabkan mangsa banjir lambat menerima bantuan.

"Sebahagian kampung yang dilanda banjir hanya dapat dihubungi melalui jalan raya tetapi jalan raya pula ditenggelami air, menyebabkan kenderaan tidak dapat melaluinya. "Saya meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) mengenal pasti bahagian jalan yang rendah dan mudah ditenggelami banjir untuk ditinggikan bagi memudahkan perhubungan ketika banjir," katanya.

Kamarlin juga meminta Ketua Kampung, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Pemaju Mukim mengemukakan senarai penduduk yang terjejas akibat banjir bagi memudahkan penyaluran bantuan. "Tanpa maklumat itu kerajaan sukar memberikan bantuan. Pemimpin masyarakat harus prihatin dalam soal ini," katanya.

WT - Harap YB K.O (Kamarlin Ombi) terus bertugas dengan sebaiknya. Tidak sedap rasanya mendengar suara-suara merungut bilamana seseorang YB hanya aktif semasa mahukan undi mereka. Biarlah kali ini YB di DUN Lumadan adalah YB yang OK!!!

No comments: