Friday, May 31, 2013

Pemilihan UMNO 2013: Pasti Hangat & Muka Baru






Pemilihan UMNO 2013 yang ditangguhkan pada tahun lepas disebabkan PRU13 pasti menjanjikan debaran hebat sehebat PRU13. Dengan format dan kaedah pemilihan yang baru dimana melibatkan lebih ramai pemilih iaitu ahli UMNO. Yang paling penting adalah pemimpin yang akan dipilih nanti adalah teraju kepimpinan UMNO dan BN bagi menghadapi PRU14 akan datang. Cabaran PRU14 amat pasti berbeza dan pasti lebih hebat dan ganas berbanding PRU13!


Amat penting transformasi politik dalam UMNO direalisasikan oleh ahli UMNO bagi berhadapan dengan cabaran yang sangat mencabar. Pemimpin dinosaur yakni yang sudah terlalu lama sepatutnya bermuhasabah diri. Berundurlah secara terhormat! Jangan ingat UMNO dan BN hanya anda yang boleh menerajuinya. UMNO dan BN tidak akan mati tanpa anda. Jika ahli UMNO tidak berfikiran lebih maju maka barisan kepimpinan UMNO tidak akan berubah dan pasti akan lebih terkulai pada PRU14. 

Jangan beranggapan UMNO sudah terlalu kuat walaupun menang 88 kerusi Parlimen pada PRU13. Hakikatnya di Selangor umpamanya UMNO semakin terpinggir. Di Kelantan juga menerima nasib serupa. Di Sabah yang menjadi deposit tetap UMNO dan BN sudah mula goyah dengan mengambilkira majoriti sebenar beberapa YB UMNO/BN yang menurun. Bagaimana kita perlu menangani dan meraih undi orang muda yang pasti bertambah pada PRU14 akan datang?

Ayuh ahli UMNO! Kita lakukan perubahan bersama DS Najib.


KUALA LUMPUR 31 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pemilihan parti bagi semua peringkat iaitu daripada cawangan hingga Majlis Tertinggi (MT) akan dijalankan pada tahun ini.

Presiden UMNO berkata, untuk proses pemilihan kali ini, format baru akan digunakan iaitu berdasarkan beberapa pembaharuan yang telah dibuat dalam Perlembagaan parti antaranya pemilihan jawatan MT hingga Presiden dilakukan oleh hampir 150,000 perwakilan di 191 bahagian.

Sambil mengakui sistem baru itu mencabar dan begitu kompleks beliau berkata, pemilihan pemimpin-pemimpin UMNO kali ini melibatkan jumlah perwakilan yang amat besar berbanding sistem pemilihan sebelum ini.

"Jumlah perwakilan yang hampir 150,000 orang itu tidak termasuk jumlah perwakilan yang akan memilih pemimpin-pemimpin di peringkat sayap yang terdiri daripada Pemuda, Wanita dan Puteri.

"Setiap sayap mempunyai 100,000 perwakilan yang akan memilih pemimpin-pemimpin mereka. Saya akui jumlah ini cukup besar walaupun tidak sebesar pengundi yang diuruskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam ini.

Bagi memudahkan perjalanan proses pemilihan, Najib berkata, pihak pengurusan UMNO yang diketuai oleh bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Tajol Rosli; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Abd. Rauf Yusoh akan turun ke negeri-negeri untuk memberikan penerangan tentang proses pemilihan baru itu.

Beliau berkata, antara perkara utama yang akan disentuh oleh pihak berkenaan ialah mengenai kefahaman perwakilan serta logistik.

"Oleh itu kita akan menunggu maklum balas dari mereka sebelum pemilihan di peringkat cawangan dapat dijalankan sepenuhnya" ujarnya.

Atas sebab itu juga beliau menjangkakan pemilihan di peringkat cawangan hanya dapat dimulakan pada 15 Julai sehingga 31 Ogos.

Bagaimanapun ujarnya, tarikh untuk pemilihan bagi peringkat bahagian dan MT masih belum ditetapkan lagi.

Menjawab satu soalan beliau berkata, pemilihan jawatan MT hingga Presiden oleh hampir 150,000 perwakilan itu akan dibuat serentak pada satu tempoh ditetapkan.

"Cara mana pemilihan kita akan tentukan sama ada dengan cara mengangkat tangan, guna kertas undi, guna dakwat kekal atau sebagainya," ujarnya.

Ditanya sama ada beliau bersedia untuk dicabar bagi jawatan Presiden, Najib berkata, UMNO merupakan sebuah parti terbuka dan sebuah parti yang benar-benar demokratik.

"UMNO tidak seperti parti-parti yang lain," katanya sinis.

Tuesday, May 21, 2013

YB Sabah Harus Ingat Perihal `Menang Tipis'



TAHNIAH rakyat Sabah kerana 10 daripada pimpinan politik dari negeri ini terpilih menganggotai Kabinet Pusat. Terima kasih kerana kesetiaan dan sokongan tidak berbelah bahagi anda kepada Barisan Nasional (BN) membolehkan pemimpin bertuah ini membawa ‘suara dan keluhan’ terus kepada pendengaran Perdana Menteri.

Ingati balik apa matlamat menjadi wakil rakyat, sudah semestinya untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada ‘majikan’, iaitu rakyat yang memberikan mandat.

Jangka hayat mereka tidak lama, hanya sekadar satu penggal atau lebih tepat lagi antara empat dan lima tahun sahaja. Selepas itu, nasib dan masa hadapan mereka terserah sepenuhnya kepada rakyat. Jika pemimpin itu amanah, maka akan diangkat kembali oleh rakyat tetapi jika berlaku khianat pasti akan dilaknat oleh rakyat.

Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) telah berakhir dan seperti semua sedia maklum bahawa BN Sabah berjaya mengulangi tradisinya memerintah negeri ini dengan majoriti dua pertiga, sekali gus sekali lagi mengesahkan status eksklusifnya sebagai negeri simpanan tetap BN.

BN Sabah memenangi 22 daripada 25 kerusi Parlimen dan 48 daripada 60 kerusi Dewan Undangan Negeri.

Dalam memperkatakan mengenai kemenangan besar BN itu, barangkali ramai yang terlupa dengan jumlah undi popular yang diperoleh BN dan pembangkang di negeri ini, perbezaan antara kedua-duanya agak tipis sebenarnya.

Diakui perkiraan undi popular tidak boleh dijadikan bukti kemenangan mutlak bagi sebuah negara yang mengguna pakai sistem pilihan raya Komanwel tetapi perlu diingat sekiranya ia terus dikesampingkan, tidak mustahil dalam PRU-14 nanti kerajaan yang memerintah bukan lagi BN!.

Satu bedah siasat menyeluruh perlu dibuat bagi mengenal pasti punca sebenar, jangan mengandaikan semuanya kerana terpengaruh dengan dakyah dan tipu muslihat pembangkang semata-mata, tidak mustahil juga ia berlaku kerana undi protes rakyat terhadap BN sendiri.

Mengimbas kembali keputusan PRU-13 lalu di Sabah, bagi 60 Dewan Undangan Negeri (DUN), jumlah pengundi yang memilih BN ialah seramai 427,257 orang berbanding yang memilih pembangkang seramai 416,742, perbezaan hanya 10,515 undi.

Sementara bagi 25 Parlimen, undi yang diperoleh BN ialah sebanyak 421,792 berbanding pembangkang hanya 365,833 undi dengan perbezaan sebanyak 55,959 undi.

Perlu dingat, daripada 25 Parlimen dan 60 DUN itu, hanya dua kawasan sahaja yang ditandingi satu lawan satu antara BN dan pembangkang iaitu di Parlimen Sandakan dan DUN Tanjung Batu, baki kawasan lain keadaan sebaliknya berlaku yang menyaksikan beberapa kawasan menghadapi pertembungan sengit hingga tujuh penjuru.

Cuba bayangkan sekiranya dalam PRU-14 nanti, pembangkang sudah ‘insaf’ dan memilih untuk betul-betul berpakat iaitu setiap kerusi ditandingi satu lawan satu, apa yang akan berlaku kepada BN sekiranya mereka langsung tidak mengambil langkah proaktif dalam tempoh empat dan lima tahun ini untuk menarik kembali sokongan rakyat yang beralih arah kepada pembangkang itu.

Secara realitinya, banyak pihak hanya ingin mengetahui perkhabaran yang enak-enak sahaja tetapi tidak salah sekiranya ditekadkan dalam pemikiran mengenai perkara negatif kerana ia bukan memudaratkan tetapi sebaliknya boleh menyiapkan diri untuk menghadapi sebarang kemungkinan yang bakal terjadi.

Malah secara positifnya akan memantapkan lagi persediaan bagi mengelak sebarang kebarangkalian berlakunya keputusan negatif itu. Akhirnya siapa yang akan untung?.

Kembali semula secara khusus kepada para YB Sabah termasuk yang menjadi Menteri Pusat. Kini bukannya masa untuk bersenang-lenang - kerja dan terus bekerja untuk rakyat (memetik ingatan yang selalu ditekankan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman).

Sila belek kembali fail-fail dan janji-janji lama yang belum tertunai, surat-surat aduan yang dihantar oleh rakyat, adakah semuanya sudah dilunaskan. Hasil pemerhatian dan pelbagai permasalahan yang disuarakan kepada orang-orang surat khabar termasuk juga melalui laman sosial, sebenarnya masih banyak yang perlu ‘dikerjakan’ oleh para YB.

Ingat kembali janji-janji yang diucapkan sepanjang kempen PRU-13 lalu, jangan hanya janji tinggal janji. Perlu diingat, bukan sahaja rakyat memantau tetapi malaikat pun turut mencatatnya, tanpa tertinggal walau sebesar zarah sekalipun.

Mungkin alasan terlupa boleh diterima, kerana perkataan ‘manusia’ itu sendiri berasal daripada kata akar, nasiya - yang bermaksud lupa dalam bahasa Arab. Namun setelah diberi peringatan, maka tidak lagi boleh digunakan alasan retorik ini.

Percayalah, jawatan, kepercayaan dan tanggungjawab yang diberikan oleh rakyat itu tidak akan terhenti setakat di atas muka bumi ini sahaja tetapi sebaliknya ia tetap akan dipersoal dan diperhitungkan di akhirat kelak. 

Semuanya akan mengharungi hari pembalasan itu, tiada pengecualian termasuk penulis dan manusia lain yang memegang status ‘Hamba Allah’.

Dipetik dari Utusan Online

Tuesday, May 7, 2013

PRU13 Dedahkan Muslihat Orang Cina




Segala debaran PRU13 seolah-olah telah berakhir. Hakikatnya tidak. 


Sebelum PRU13 debaran politik amat tidak menentu. Setelah pengumuman keputusan PRU13 sehingga awal pagi 6 Mei 2013, ternyata debaran politik pasca PRU13 bakal berterusan. 


Dengan kemenangan boleh dikatakan tipis BN iaitu 133 kerusi Parlimen manakala Pakatan Rakyat dengan 89 kerusi, persekitaran politik Malaysia akan terus diwarnai dengan aksi-aksi politik dari kedua-dua belah pihak.


Kesimpulan awal blog ini berdasarkan keputusan PRU13 semasa adalah; 

Komuniti Cina Malaysia telah menghantar mesej melalui pola undi mereka bahawa mereka `tidak’ bersama BN dalam merealisasikan transformasi yang dilaung-laungkan oleh Najib. 
DAP menang dengan bergaya. Apakah Malaysia Malaysian mereka sudah menjadi sebati dikalangan orang Cina?

MCA dan Gerakan bolehlah dikatakan `sudah’ dikuburkan pada PRU13. Orang Cina nampaknya sangat benci dengan MCA dan Gerakan.

MIC juga semakin tidak relevan kepada komuniti India Malaysia. Walaupun telah memenangi beberapa kerusi, itupun pastinya dengan bantuan undi orang Melayu. Undi masyarakat India di lain-lain tempat tidak membantu calon BN.

MCA, Gerakan dan MIC tidak menyumbang langsung kepada kejayaan BN. Meskipun pelbagai bantuan telah dicurahkan kepada mereka oleh kerajaan pimpinan Najib.

UMNO menang 109 dari 120 kerusi ditandingi. Nampak berjaya tetapi tidak memuaskan.

BN adalah UMNO yang dikuasai oleh komuniti Melayu. Pakatan Rakyat adalah DAP yang dikuasai komuniti Cina. Mungkinkah perpecahan dan jurang antara orang Melayu dan orang Cina sedang berlaku?

Orang muda atau dari saluran 3 dan saluran 4 peti undi telah menunjukkan kecenderungan kepada anti establishment atau lebih tepat tidak bersama BN. BN harus mempunyai strategi ampuh menangani perkara ini. BN hanya ada lebih kurang 5 tahun untuk menyelesaikan dilemma ini.

BN harus melihat semula mekanisme terbaik untuk mereka memenangi hati orang muda. Bukan sekadar mengula-gulakan mereka dengan aktiviti pesta-pestaan dan hiburan.

Pakatan Rakyat menunjukkan peningkatan ketara walaupun tewas di Kedah tetapi sudah bertapak malah menafikan 2/3 majoriti di negeri-negeri dikuasai BN.

PRU14 akan datang jika prestasi Pakatan Rakyat berkekalan, pasti akan berlaku perubahan pemerintahan kerajaan Persekutuan andai BN tidak melakukan overhaul terhadap organisasi dan kepimpinan mereka.

Kemenangan BN di Kedah penawar kepada prestasi hambar BN. BN semakin longgar disemua negeri kecuali Kedah dan Sarawak.

Misalnya di Sabah, Pakatan Pakyat termasuk parti STAR sudah mempunyai 12 kerusi DUN dan pasti akan menambahkan panas sesi DUN selepas ini. Peningkatan undi popular pembangkang juga harus diambil berat oleh BN. Janganlah asyik menyalahkan orang lain.

Johor, Terengganu, Melaka, Negeri Sembilan juga sudah mula ditembusi oleh Pakatan Rakyat. Manakala Penang, Selangor dan Kelantan semakin kukuh dengan cengkaman Pakatan Rakyat.

Perak dan Terengganu pula tidak stabil dan pada bila-bila masa boleh berlaku kejutan jika BN tidak berubah secara total.

Pemilihan calon BN masih menjadi persoalan. Kebergantungan kepada beberapa agensi kerajaan dan `kuasa’ pemimpin tertentu dalam menentukan senarai calon jika diteruskan pada PRU14 pasti akan mengundang bala kepada BN.

BN harus membenarkan kemasukan dan penglibatan lebih ramai muka baru dan golongan professional dalam organisasi mereka. Masalahnya adalah `orang lama’ tidak membenarkan ia berlaku. Orang lama ini seolah-olah mempunyai mempunyai kuasa ugutan seperti menyertai Pakatan Rakyat jika mereka `diabaikan’. BN harus berani bergerak tanpa mereka dan berani `mengorbankan’ mereka. Jika tidak, merekalah yang akan mengorbankan BN dari dalam.

Kejayaan Pakatan Rakyat di Selangor memperlihatkan kepincangan dan kegagalan BN. BN Selangor perlu dirombak sepenuhnya. Muka lama dalam kepimpinan BN termasuk UMNO hendaklah digugurkan. BN harus lebih berani!

BN harus juga berani membiarkan `orang muda’ dan professional memimpin teraju parti terutamanya di peringkat negeri.

Barisan kabinet Najib, tidak semestinya terikat dengan pemimpin BN sedia ada. Golongan muda dan professional hendaklah diketengahkan. Usaha Najib sebelum ini nampaknya tidak begitu Berjaya dalam menangani orang muda.

Perlantikan senator kuota BN kepada pemimpin lama BN sebagai platform atau janji kedudukan akibat kekalahan atau tidak terpilihnya mereka sebagai calon tempohari hendaklah dihentikan. Biarkan orang muda dan professional pro BN mengisi kekosongan tersebut.

BN harus berani melakukan transformasi total politik. Ini adalah untuk survival politik BN itu sendiri. Jika tidak, BN harus menyediakan lubang kubur mereka sendiri pada PRU14 akan datang. Ini penting dalam menghadapi PRU14 akan datang kerana jumlah undi orang muda akan melebihi jumlah undi orang `lama’.

BN harus berhati-hati. Jika PRU12 Anwar Ibrahim boleh merancang `membeli’ Ahli Parlimen BN untuk Pakatan Rakyat memerintah. Maka, sindrom 16 September pasti boleh berulang!

BN Sabah dan Sarawak hendaklah diberikan kedudukan sebaik mungkin dalam kabinet Najib. Bagi mengelak peristiwa 16 September berulang. Bukankah meletihkan untuk berkejar-kejaran ke Taiwan?

Jangan sampai yang dikendong berciciran, yang dikejar tidak diperolehi. Maka, perlukah tuntutan-tuntutan kaum Cina dan India dipenuhi setiap kali mereka mengugut? Bagaimana jika orang Melayu/Bumiputera juga mengugut? Najib harus lebih bijaksana! Inilah cabaran terbesar Najib. Hanya kesungguhan dan keberanian Najib akan merealisasikannya.



Keputusan PRU13 harus diterima dengan lapang dada oleh semua pihak. Berpolitik sepanjang masa akan menjejaskan usaha menuju negara maju berpendapatan tinggi dan mencapai Wawasan 2020. 

Hakikatnya, BN masih perlu berubah dan meneruskan perubahan. Pakatan Rakyat harus melupakan budaya demonstrasi tanpa henti dan sebarang usaha membeli Ahli Parlimen BN. Biarkan demokrasi melalui pilihanraya dihormati. 

Kini yang penting bukan lagi individu atau parti masing-masing tetapi negara Malaysia tercinta.