Umum sudah mengetahui bagaimana
perhimpunan ini dicanangkan dan diwar-warkan oleh parti pembangkang Pakatan
Rakyat (dinyatakan atas platform NGO-NGO pro pembangkang dan disokong oleh
parti pembangkang) sebagai satu perhimpunan rakyat. Walaupun pada awalnya ia
juga dikaitkan sebagai perhimpunan untuk menyatakan sokongan kepada Shamsidar
Taharin iaitu individu penting dalam perbicaraan kes saman Anwar vs
Nalakaruppan.
Untuk info, Shamsidar Taharin adalah isteri kepada Azmin Ali dan didakwa mempunyai
hubungan sulit secara seksual dengan Anwar oleh Nalakaruppan. Ironinya,
Nalakaruppan mendakwa beliaulah individu bertanggungjawab dalam `mengatur’
hubungan sulit tersebut semasa Anwar berkuasa sebagai Timbalan Perdana Menteri
dan Timbalan Presiden UMNO.
Sasaran kehadiran mereka adalah
seramai satu juta orang akan menyertai perhimpunan itu. Angka sebesar itu
dicanangkan untuk menggambarkan betapa besarnya perhimpunan ini bagi
menunjukkan betapa besar sokongan terhadap mereka dan besarnya amarah rakyat
kepada pihak kerajaan yang diterajui oleh Barisan Nasional. Adakah mampu mereka memperolehi angka
tersebut?
Realitinya jika mereka berjaya
menghimpunkan seramai itu di Stadium Merdeka, stadium akan runtuh dan hampir
setiap inci Kuala Lumpur akan ada manusia. Melainkan mereka juga akan
mengambilkira orang ramai yang datang dan berada di Kuala Lumpur untuk tujuan
kerja, bersantai, membeli belah dan urusan bukan untuk hadir perhimpunan. Jika
itu, maka angka seramai 1 juta orang membanjiri Kuala Lumpur akan tercapai. Pembangkang
jelas memanipulasi keupayaan mengumpul 1 juta orang. Sedangkan mereka tahu mereka tidak mungkin berjaya mengumpul penyokong
atau pengikut seramai itu untuk hadir perhimpunan yang sia-sia.
Dikhabarkan, betapa penyokong parti
pembangkang yang diseru untuk hadir juga mula mengeluh, letih dan memikirkan
soal kos untuk hadir (bagi mereka yang datang dari luar Lembah Kelang). Dan ada
cerita juga bahawa pembayaran elaun dan duit belanja diberikan bagi mencapai
jumlah 1 juta orang. Bayangkan jika sekiranya 500,000 orang yang datang tanpa menerima
atau dibayar sebarang elaun dan 500,00 orang lagi dibayar dengan elaun serendah
RM100 seorang secara purata. Bermakna,
sebanyak RM50 juta wang tunai diperlukan untuk 500,000 orang tadi!
Teringat kata-kata seorang kawan
apabila kita kata urusan projek atau permohonan tanah atau kayu balak di
Kelantan tentunya bersih dan tiada duit kopi sebab pemimpin PAS kononnya kuat
agamanya. Kata kawan ini, selagi mereka juga perlu membeli dan membayar apa
saja barang atau perkhidmatan dengan wang ringgit maka tiada yang percuma.
Siapa kata pemimpin PAS hidup dengan zuhud? Hidup semata-mata kerana
perjuangan? Bagaimanapun pemimpin PAS
`bijak’ menjadikan wang habuan atau duit kopi dari dilabel sebagai rasuah
kepada satu sedekah dan amal jariah! Hanya dengan `menjual’ kepentingan dan
kemuliaan agama! Termasuklah dengan keputusan berbeza-beza berhubung kalimah
Allah dikalangan para pemimpin mereka.
WT berpendapat PRU13 akan datang ini
adalah satu perlawanan antara kerajaan BN dan parti pembangkang untuk `memenangi’ undi daripada pengundi
atas pagar dan meraih undi protes ahli-ahli dari parti lawan masing-masing.
Berdasarkan jumlah keahlian parti, sudah tentu jumlah ahli-ahli parti dibawah
BN jauh melebihi ahli-ahli dibawah pembangkang Pakatan Rakyat.
Sesiapa yang
berjaya memenangi hati kelompok ini pasti akan memenangi PRU13! Pengundi atas pagar
umumnya akan membuat keputusan memilih mengikut `firasat’ dan `gerak hati’
mereka. Kadang-kadang mereka memutuskan memilih calon berbanding parti dan
mereka lazimnya tidak mengangotai mana-mana parti atau menjadi ahli parti tetapi
tidak aktif. Pengundi atas pagar sangat
penting untuk menentukan kemenangan mana-mana pihak terutamanya kepada pihak
pembangkang Pakatan Rakyat.
Bagi WT, pengikut dan penyokong totok
dan tegar parti pembangkang sudah pasti akan mengundi parti mereka. Walaupun
calon mereka kaki betina, kaki duit kopi, kaki liwat, kaki ceramah awal pagi
(khalwat), kaki cilok, kaki botol atau apa jua jenis kaki. Bagaimanapun, parti
pembangkang juga berusaha untuk `mencuri’ sebahagian undi ahli-ahli parti
dibawah BN. Ini terbukti bilamana `ramai’ ahli-ahli parti dalam BN mengundi
pihak pembangkang pada PRU12@2008 kerana merasakan ia untuk menunjukkan undi
protes dan supaya pemimpin BN `mengambil berat’ kehendak mereka. Undi protes ahli-ahli parti dibawah BN juga
sangat penting untuk menentukan kemenangan pihak pembangkang Pakatan Rakyat.
Berbalik kepada cerita perhimpunan #KL112
yang menjadi sangat signifikan kepada parti pembangkang kerana beberapa sebab.
Pertama, kerana PRU13 pasti akan
berlaku sebelum Jun 2013! Penting untuk
menjadikan perhimpunan ini (dengan menunjukkan suasana ramainya `rakyat’ yang
datang menyokong untuk menolak kerajaan BN) adalah satu perhimpunan mega yang
sangat-sangat berjaya. Sebab itu faktor angka yang dinyatakan diatas amat
penting untuk diwujudkan atau dimanipulasi sebaik mungkin. Waima jika perlu
mengeluarkan wang belanja mencecah puluhan juta ringgit sekalipun. Jumlah
kehadiran perlu dimanipulasi bagi menggambarkan kepada pengundi atas pagar
bahawa `majoriti rakyat’ sudah menolak kerajaan sedia ada dan untuk menunjukkan
parti pembangkang mempunyai sokongan yang sangat luar biasa untuk menang PRU13.
Perhimpunan ini menjadi sangat penting
untuk menghadapi PRU13!
Kedua, untuk `menutup’ dan
`memperlahan’ mood rakyat Malaysia terutamanya pengundi atas pagar ekoran
daripada isu-isu panas yang timbul sejak akhir-akhir ini. Sedar atau tidak, kes
liwat Anwar – Saiful sudah semakin `reda’ sebab banyak isu lain yang
diketengahkan untuk sekurang-kurangnya bagi pengundi atas pagar dan para pengundi protes `terlupa dan melupakan’ kes
liwat itu! Pembangkang dihimpit beberapa isu panas seperti isu kalimah
Allah, kayu dan balak, tanah, air, roboh rumah ibadat, pemilihan DAP, amanat Hj
Hadi dan terkini kes saman Anwar vs Nalakaruppan. Memanaskan semula isu-isu
basi dan cuba mewujudkan isu-isu baru melalui perhimpunan sia-sia ini adalah
penting untuk survival mereka di mata rakyat Malaysia.
Ketiga, supaya rakyat Malaysia
dihidangkan dengan kisah perhimpunan ini dan kisah serta program membantu
rakyat oleh pihak kerajaan tidak terlalu menonjol. Kejayaan perhimpunan ini secara
aman sebenarnya tidak akan memberikan kejayaan total kepada pihak pembangkang.
Mengetahui sejak azali sifat pembangkang di Malaysia, kiri kanan atas bawah
mereka tetap di pihak benar dan menang, maka jika perhimpunan aman
direalisasikan pasti akan ada komen, ulasan pihak pembangkang bahawa mereka
adalah manusia yang baik, bertamadun dan mematuhi peraturan (hakikatnya
anak-anak kecil masih juga dibawa bersama). Jika berlaku keganasan perhimpunan,
ia akan digunakan sebaiknya untuk menggambarkan bahawa kerajaan tidak adil,
mempergunakan pihak Polis dan sebagainya. Pokoknya, mereka sentiasa bukannya
pihak yang bersalah!
Isu FELDA, royalti minyak, pendidikan
percuma, tahanan ISA, isu Lynas/Pengerang dan isu yang lain masih dijadikan
modal tanpa henti oleh pihak pembangkang. Selagi isu itu ada `market’ dan ada
`harga’ , ia akan dibisingkan walaupun penjelasan kerajaan, pakar-pakar, ahli
akademik telah diberikan malah sedang dalam proses mahkamah pun akan ditentang.
Keputusan mahkamah samada memihak kepada mereka atau tidak, kedua-duanya akan
dijadikan bahan ceramah di seluruh dunia waima dalam bilik hotel bersama Mat Sabu/Norma
atau Badrulamin sekalipun.
Keempat, untuk mendapatkan liputan
media antarabangsa bahawa hidup di Malaysia sebenarnya sangat teruk.
Menunjukkan bahawa Malaysia bukan negara yang selamat, negara yang tidak aman,
tidak demokrasi dan negara yang sedang mempunyai 1001 masalah. Ini akan
digambarkan dengan kononnya sokongan `rakyat’ terhadap perjuangan mereka.
Dalam soal Malaysia negara yang teruk
dari segi ekonomi, perpaduan dan kehidupan. Ada baiknya pemimpin dan pengikut
totok pembangkang hidup dan tinggal di negara yang mereka rasa lebih baik dari
Malaysia. Bandingkan dengan kehidupan rakyat di negara lain atau lebih dekat negara
jiran kita seperti Indonesia, Filipina dan Thailand. Benar kelompok menengah di
negara berkenaan lebih ramai berbanding Malaysia. Tapi bandingkan pula jumlah
penduduk mereka dengan Malaysia. Kemudian buat pula perbandingan bagaimana
hidup kelompok marhaen dan kemiskinan rakyat mereka.
Pemimpin dan
pengikut totok pembangkang yang pernah ke luar negara sebenarnya pembohong
besar kepada rakyat Malaysia yang tidak pernah ke luar negara seperti Jakarta, India
malah kota Manila. Bagaimana kehidupan dan kemiskinan penduduk mereka?
Bagaimana jurang ekonomi dan perpaduan mereka? Mereka membangga-banggakan
Myanmar/Kemboja kononnya jauh lebih baik dan lebih demokrasi berbanding
Malaysia. Tanya kepala otak masing-masing bagaimana pendirian Myanmar dengan
nasib orang Rohingya? Pemimpin dan pengikut totok pembangkang yang pernah ke
luar negara tahu betapa siksanya hidup di negara yang dilawati terutama bagi
rakyat miskin. Mereka tahu di Malaysia mereka masih boleh membohongi rakyat dan
hidup mewah!
Seorang sahabat berbangsa India,
melawat negara asal usul beliau dan selepas kembali ke Malaysia berkata beliau
sangat bersyukur menjadi warganegara Malaysia. Biarpun India mempunyai kekuatan
itu ini dan hebat sana sini termasuk bintang Bollywood yang handsome, seksi dan
lawa tetapi semiskin-miskin orang miskin di Malaysia miskin dan daif lagi
mereka di India!
Busuk-busuk Malaysia, Malaysia
tanahairku jua…
Mungkin menjadi dasar dan polisi
kerajaan bahawa menayangkan `aib’ dan `kedaifan’ rakyat di negara lain kemudian
dibandingkan dengan Malaysia adalah tindakan yang tidak wajar dilakukan. Tetapi
bagi pengikut totok pembangkang yang tidak pernah ke luar negara, kalau rasa
Malaysia adalah negara sangat teruk untuk didiami dan kerajaan Malaysia sangat
tidak bertanggungjawab. Eloklah memohon untuk tinggal di perkampungan atau
daerah yang daif di negara lain.
Benar, masih ada yang miskin di
Malaysia. Konon tiada pekerjaan. Kalau setakat untuk mendapatkan duit belanja
untuk makan minum tinggal, kerja kilang, pengawal keselamatan, pembantu rumah
bersepah di Malaysia. Pokoknya rakyat Malaysia sendiri lebih suka menjadi
rakyat subsidi!
Akhirnya, perhimpunan #KL112
hanyalah medan untuk menonjolkan muka-muka kotor pemimpin pembangkang untuk
digambarkan sebagai pemimpin rakyat yang bersih dan suci. Medan ini digunakan
untuk menunjukkan bahawa mereka masih relevan. Walaupun sebagai contoh, Nik
Aziz tidak mungkin bertenaga dan berupaya secara fizikal untuk berarak tetapi
mahu digambarkan beliau adalah pemimpin rakyat yang sangat diperlukan oleh
rakyat Malaysia. Maka, jadilah Nik Aziz Menteri Besar sehingga ke akhir hayat
pun tidak mengapa. Demikian juga dengan Anwar, pengikut totok pembangkang tidak
akan mempercayai beliau melakukan liwat melainkan diri mereka sendiri atau kaum
keluarga terdekat terliwat oleh Anwar! Maka, kononnya Anwarlah segala-galanya
untuk menyelamatkan Malaysia.
Perhimpunan
#KL112 tidak akan berakhir disini! Ada banyak lagi perhimpunan akan dilakukan
oleh puak pembangkang Pakatan Rakyat selepas kekalahan mereka pada PRU13 nanti.
Mereka
hidup dengan perhimpunan…malangnya bukan dengan perhimpunan aman atau tertutup.
Kalau perhimpunan aman atau tertutup, alamat riwayat politik mereka akan
terkubur.
Perhimpunan yang dimahukan
adalah perhimpunan jalanan dan perhimpunan yang penuh dengan keganasan.
Kerana apa? Kerana perhimpunan jalanan dan perhimpunan ganas akan memberi
mereka angan-angan baru, penipuan baru dan `bajet’ baru dari `pembekal’ mereka!
Perhimpunan jalanan dan perhimpunan ganas juga platform murahan untuk mereka
menunjukkan diri kononnya merekalah rakyat bertamadun, berdemokrasi supaya
pengundi atas pagar terpedaya dengan `hiburan’ jalanan mereka. Merekalah
`setan-setan’ jalanan yang meracuni rakyat!
Apa jua perhimpunan yang dijenamakan atas nama rakyat oleh pihak pembangkang
adalah manipulasi dan atas tujuan politik semata-mata! Bukan atas dasar
perjuangan untuk rakyat!