Thursday, February 18, 2010

GELOJOH II : KISAH RM2 JUTA TUNAI!!!

Dipetik daripada Utusan Online
19 Februari 2010


KITA tidak pasti apa sebenarnya matlamat segelintir orang masuk politik. Apa sebenarnya cita-cita mereka. Niat mereka? Orang politik yang masuk dulu dan sekarang apa bezanya?



Mereka yang sudah masuk lama dulu dan sudah nampak track record mereka, bolehlah kita katakan mereka itu benar-benar politikus atau ahli politik ataupun ahli politik totok atau juga dikenali sebagai political animal.



Orang seperti Dr. Mahathir Mohamad dan Nik Aziz boleh dipanggil political animal, begitu juga dengan Ibrahim Ali mahupun Lim Kit Siang dan Karpal Singh. Bukan senang nak dikategorikan orang politik dengan istilah itu. Sekurang-kurang mereka telah mempunyai rekod perkhidmatan, pernah melalui sepak-terajang (disepak atau menyepak) politik. Mereka ini lazimnya menang dalam pertarungan cantas-mencantas dan pelbagai strategi politik yang hebat-hebat.



Kit Siang dan Karpal Singh akhirnya berjaya mewujudkan empayar anak-beranak dalam DAP. Begitu juga dengan Nik Aziz, tapi cubaannya gagal. Dalam UMNO dan BN sendiri pun ada.


Dr. Mahathir setakat ini tiada tandingannya di Malaysia mahupun di dunia. Beliau ialah seorang political animal yang tidak takut kepada sesiapa pun, waima kuasa besar dunia dan orang Yahudi. Beliau tidak perlu takut kerana rekod perkhidmatannya selama 22 tahun sebagai Perdana Menteri untuk negara ini tiada tandingannya dan tidak boleh dipertikai oleh sesiapa pun.

Namun kini, mula kedengaran daripada veteran-veteran politik mengenai persoalan apa sebenarnya tujuan dan niat orang politik yang muda-mudi ini masuk politik. Tokoh politik sekarang semasa mula-mula masuk politik dulu sekitar tahun 40an, 50an, 60an, 70an cuma makan nasi bungkus, matlamat mereka jitu. Sanggup bergadai bergolok demi perjuangan agama, bangsa dan negara.



Tapi orang politik sekarang belum apa-apa sudah makan di hotel-hotel mewah, tiada habuan tiada jalan, dalam akal penuh muslihat untuk kepentingan diri.



Selepas berkecimpung beberapa tahun, sudah mula pakai kereta mewah. Kereta yang dipakai sudah jadi trend; mula-mula dulu orang politik yang muda-mudi ini pulun pakai SUV jenis Rexton, kemudian tukar kepada Volvo XC90, kemudian naik setingkat lagi BMW X5 hinggalah kepada Porsche Cayenne yang berharga lebih setengah juta ringgit. Mereka bertukar-tukar kereta seperti barang mainan.




Belum pun satu penggal menjadi ahli politik muda, sudah mula pasang seorang lagi bini. Jika bukan sesama mereka (dalam sayap parti) yang dipilih sebagai pasangan kedua itu, mereka akan pilih artis jelitawan. Wow mereka ini cukup hebat.



Ia bukan dibuat secara sembunyi-sembunyi lagi. Jika bersembunyi pun, akhirnya perbuatan itu dapat dihidu dan terbongkar. Bukan niat kita nak memburuk-burukkan mereka ini, tapi gelagat itu boleh merosakkan susu sebelanga. Itulah, kata seorang ahli politik veteran kepada saya, bezanya orang politik dulu dan sekarang.



Fenomena ini bukan sahaja berlaku dalam politik arus perdana yang memerintah negara, tapi juga sudah mulai berlaku dalam politik pembangkang yang memegang kuasa di negeri-negeri tertentu.



Semasa tokoh politik veteran itu bercerita mengenai hal itu, tiba-tiba tersembur cerita dalam akhbar bagaimana setiausaha politik seorang menteri yang masih muda memiliki RM2 juta (tunai) dalam rumahnya.

Semasa SPRM (yang semakin ditakuti) menyerbu ke rumahnya ditemui berkepul-kepul wang tunai RM5, RM10, RM50 dan RM100. Kereta-kereta mewah yang dimiliki tak perlu ceritalah.



Beberapa hari selepas itu dilaporkan seorang setiausaha politik meletakkan jawatan.



Maka itu, saya pun menerimalah SMS daripada pelbagai pihak termasuk daripada seorang ketua bahagian yang ternama yang menulis ''sepatutnya ada beberapa supol (Setiausaha Politik) lagi yang perlu letak jawatan kerana gagal tunaikan tanggungjawab… serta hidup lebih dari kemampuan yang sebenar!''

Dia tambah lagi SMS kedua yang bunyinya lagi teruk. Tidak perlulah saya tulis di sini, cuma ketua bahagian itu minta ''SPRM pi check''.



Tidak pasti mengapa ketua bahagian itu marah sangat. Mungkin kerana dia bukan daripada golongan yang gelojoh itu. Dia mungkin daripada golongan generasi lama yang matlamat perjuangannya bukan kerana wang. Bagi mereka asal senang sudah, bukan terlalu mewah yang bukan-bukan.



Ekoran peristiwa itu ada panggilan masuk yang mendedahkan itu dan ini termasuk kisah mengenai seorang politik muda yang mahu membeli rumah berharga RM1 juta - bukan buat pinjaman bank untuk bayaran balik selama 25 tahun seperti yang orang biasa lakukan, tapi nak bayar cash-tunai!



Oleh itu nasihat kita, berpada-padalah wahai orang politik yang muda-mudi ini. Kalau kita terlalu gelojoh orang akan nampak. Bukan semua orang yang akan tolong sorok perbuatan anda, banyak yang mahu mendedahkannya, malah mahu membunuh kerjaya anda.



Kemuncaknya, ingatlah yang akan membunuh anda dan seluruh institusi politik anda ialah kuasa rakyat yang meluat melihat kegelojohan anda itu.



Jika sesiapa yang terasa pedas, ikutlah nasihat ketua bahagian itu, letaklah jawatan beramai-ramai.

Zul Noordin, penatlah, apa tunggu lagi…SEMALAM Zulkifli Noordin (PKR-Kulim Bandar Baru) yang penuh kontroversi dan pandai mencuri perhatian orang ramai membuat satu lagi kenyataan di sidang media.



Beliau menuduh partinya PKR mempunyai agenda jahat apabila menetapkan tarikh perbicaraan kes disiplinnya pada 18 Februari ini iaitu tarikh dia akan berada di Korea untuk menghadiri satu forum antarabangsa.
 Apa yang susah sangat saudara Zul. Saudara ada pilihan, batal sahaja menghadiri forum itu dan pergi menghadap ke lembaga disiplin itu.

Atau pilihan akhir, pergi ke forum itu dan biar sahaja diri saudara dipecat. Memang itu pun yang saudara kehendaki bukan? Oleh itu, wahai YB, apa yang susah sangat?



Tolonglah saudara Zul, kami semua sudah penat dengan permainan saudara. Kami akan tunggu sidang media perdana dari saudara. Kali ini ialah mengenai pengumuman saudara keluar parti. Noktah!

Tuesday, February 16, 2010

MANUSIA TERKAYA DI MALAYSIA 2010

Dipetik dari Utusan Online
16 Februari 2010, Selasa


WT- Mudah-mudahan kita juga mempunyai cita-cita sebesar ini...dengan kekayaan duniawi ini, insyaAllah akan mempermudahkan melakukan ibadah yang lain khususnya membantu umat kita yang serba kekurangan sekaligus memperkayakan bekalan kita di akhirat kelak. AMIN

KUALA LUMPUR 16 Feb. - Tan Sri Robert Kuok dari Kumpulan Kuok yang melepaskan mahkotanya “Raja Gula” tahun lepas, mendahului senarai 40 orang terkaya di Malaysia.

Kekayaan beliau ialah sebanyak RM42.76 bilion, meningkat RM16.1 bilion daripada RM26.6 bilion setahun lalu .

Hartawan telekomunikasi Ananda Krishnan berada pada kedudukan kedua dengan kekayaan RM27 bilion.

Tan Sri Lee Shin Chen dari IOI Corporation Bhd menduduki tempat ketiga dengan kekayaan RM11.92 bilion diikuti ahli perbankan terkemuka Tan Sri Teh Hong Piow dengan kekayaannya berjumlah RM10.86bilion.

Tan Sri Lim Kok Thay dari Kumpulan Genting dengan kekayaan bernilai RM10.38 bilion, melonjak kepada kedudukan kelima. Ini kerana beliau mewarisi sejumlah besar kekayaan daripada mendiang bapanya Tan Sri Lim Goh Tong.

Tan Sri Quek Leng Chan dari Kumpulan Hong Leong menduduki tempat keenam dengan RM7.09 bilion manakala Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary dari Yayasan Albukhary dengan kekayaan bernilai RM6.01 bilion, menduduki tempat ketujuh.

Jutawan lain yang tersenarai dalam 10 teratas adalah balu Lim Goh Tong, Puan Sri Lee Kim Hua, Tan Sri Tiong Hiew King dari Rimbunan Hijau Group dan Tan Sri Vincent Tan dari Berjaya Group.

Lima muka baru dalam senarai itu ialah Lee Swee Eng dari KNM Group, Datuk Shahril Shamsuddin dan Shahriman Shamsuddin dari Sapura, Datuk Seri Nazir Razak dari CIMB Group dan Ong Leong Huat dari OSK Holdings, yang muncul semula dalam senarai itu selepas tiada dalam tempoh setahun. - Bernama