Warisan Tamar
24 November 2008, Isnin
MINGGU lepas (17-19 Nov) saya berkesempatan menghadiri Persidangan Air Rantau Asia Pasifik (1st) yang diadakan di sebuah hotel terkemuka di Subang Jaya. Ia adalah anjuran bersama Persatuan Air Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya (SWAn) dan Institut Strategik dan Kajian Antarabangsa (ISIS). Ia dirasmikan oleh YB DS Najib Tun Razak. Sudah tentu ia adalah satu forum dan konvensi yang membincangkan tentang keperluan asas penduduk dunia khususnya di rantau Asia Pasifik iaitu air.
Dalam keghairahan ramai pihak membicarakan perihal harga minyak dan implikasinya kepada pasaran ekonomi serta kepentingannya kepada penduduk dunia, tidak ramai yang menyedari mahupun bersungguh-sungguh dalam membicarakan isu air. Bukan soal air lebih penting daripada minyak atau sebaliknya yang ingin saya kongsikan kali ini tapi sebagai ahli Persatuan Air Malaysia, saya rasa ada baiknya saya berkongsi pandangan tentang air.
Majoriti diantara kita tahu dan sedar betapa pentingnya seliter air berbanding seliter minyak petrol. Walaupun hakikatnya kedua-duanya adalah amat penting kepada kehidupan manusia ketika ini. Namun berapa ramaikah yang ingin tahu dan ambil pusing tentang permasalahan air disekeliling kita. Mengikut statistic, Asia Pasifik termasuk Malaysia yang mempunyai 60% atau lebih separuh daripada populasi penduduk dunia berkedudukan antara terbawah dari aspek sumber air bersih per kapita. Mungkin statistic sebegini belum cukup mengejutkan kita kerana ketika ini kita masih mudah memperolehi air terutamanya untuk di minum. Tetapi amat kurang menyedari bahawa sumber air bersih itu sudah semakin terhakis dan tercemar di dalam negara kita. Lihat sahaja kegagalan kempen Cintailah Sungai Kita. Adakah kita perlu menyalahkan pihak kerajaan semata-mata? Atau kita lebih bimbang dan histeria apabila harga minyak naik berbanding jika sumber air kita semakin mengecil?
Saya acapkali juga berhadapan dengan masalah bekalan air apabila berada di kampong. Samada air tidak ada sepanjang hari atau tekanan air yang agak mengecewakan. Jika dulu terdapat sungai yang masih boleh digunakan untuk mandi manda tetapi kini Sg Silaun malah Sg Gadong di kampong saya juga sudah menemui `ajal’nya. Banyak factor yang memainkan peranan kepada `kematian’ sungai berkenaan. Memperolehi bil air setiap 3-6 bulan sekali sudah menjadi perkara biasa dan tidak menimbulkan huru hara. Yang ada cuma rungutan bermusim akibat terpaksa membayar jumlah yang agak besar sekaligus.
DS Najib dalam ucapan perasmiannya menekankan betapa satu transformasi dan satu kerangka kerja baru diperlukan. Konsep sanitasi lestari juga dicadang supaya dikaji secara mendalam dengan memberi penekanan terhadap pengasingan punca pencemaran air pada peringkat sumber, mewujudkan kemudahan berasingan bagi meningkatkan kecekapan dan menggunakan semula keluaran sampingan terutamanya air dan kumbahan yang sudah dirawat. Sanitasi lestari memiliki keanjalan untuk mendekati masyarakat dan kos diperlukan juga kecil berbanding pendekatan sanitasi secara konvensional.
Isu Non Revenue Water (NRW) atau Air Tanpa Hasil adalah isu penting bagi pemain dalam industri air. Ia secara ringkas berkaitan dengan kehilangan atau kebocoran air yang sudah dirawat disebabkan oleh pelbagai faktor seperti kemudahan perpaipan yang usang, kecurian air, kebocoran paip dan sebagainya. Di Pulau Pinang, kadar NRW adalah dibawah 20% dan merupakan yang terbaik di negara ini. Manakala di Selangor termasuk Kuala Lumpur dan Putrajaya, kadar NRW terkini telah diturunkan dengan usaha agresif pihak Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) iaitu dari lebih 40% sebelum diambil alih kepada sekitar 30% selepas lebih kurang 4 tahun pengambilalihan pengurusan air.
Menyedihkan tetapi secara peribadi saya sudah menjangkakannya apabila kadar NRW di Sabah adalah pada kadar yang agak tinggi iaitu 43% di Tawau manakala 39% di Kota Kinabalu. Kadar NRW kebangsaan adalah ditetapkan pada kadar 34%. Bermakna, kadar NRW di Sabah masih di atas paras NRW sasaran peringkat kebangsaan. Apakah sinonimnya kadar NRW ini? Ia menunjukkan masih banyak langkah-langkah yang perlu diambil dan dilaksanakan oleh Jabatan Bekalan Air dan kerajaan negeri Sabah supaya menurunkan kadar NRW ini. Kadar NRW yang tinggi menunjukkan banyak kebocoran dan kegagalan dalam pelbagai aspek pengurusan air. Misalnya pada tahun 2007, kerajaan negeri Sabah hanya memperolehi suku daripada hasil air yang sepatutnya diterima iaitu daripada 130 juta liter air yang dihasilkan di Tawau.
Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur, Datuk Raymond Tan berkata terdapat 7 langkah untuk menurunkan NRW iaitu memperkenalkan sistem pengagihan air yang lebih berkesan, mengganti paip air yang usang berusia lebih 25 tahun, memastikan pembaikan dan penyenggaraan paip yang konsisten, pemantauan kebocoran air melalui districts metering zone (DMZ), mewujudkan hydraulic model supply system yang lebih efisien, dan mengenalpasti penyambungan haram air terutamanya di kawasan setinggan. Kesemua ini telah dilaksanakan oleh pihak SYABAS dan ia jelas memberi impak yang berkesan dalam mencapai target menurunkan kadar NRW. Namun persoalannya, kesemua tindakan ini amat memerlukan sumber dana (CAPEX) yang amat besar. Sudah tentu rakyat atau penduduk Sabah amat menantikan pengagihan air yang lebih cekap dan bersih. Tapi bagaimana dengan soal menanggung kos? Atas dasar itu, pengkorporatan dan penswastaan pengurusan air telah dilaksanakan di kebanyakan negeri di Semenanjung. Persoalan lain, Sabah dan Sarawak pula tidak tertakluk di bawah Suruhanjaya Pengurusan Air Negara (SPAN) dan ia juga tidak tertakluk kepada `kemestian’ untuk mengkorporatkan pengurusan air di negeri-negeri. Adakah kerajaan negeri Sabah mampu menyediakan dana yang amat besar untuk menangani permasalahan air di Sabah? Jika pun diswastakan, bagaimana dengan kesan kenaikan tariff air yang tidak dapat tidak akan berlaku sebagai imbalan balik ke atas kerja-kerja yang ditanggung oleh syarikat konsesi kelak?
Yang jelas seperti kata pegawai Jabatan Bekalan Air Sabah, sasaran mereka untuk jangka panjang adalah untuk mengurangkan kadar NRW di negeri Sabah daripada 56% kepada 28%. Bagaimanakah sasaran itu dapat dicapai?
Penduduk di Sabah amat bersyukur kerana walaupun kadar NRW yang begitu tinggi dicatatkan tetapi keresahan tentang bekalan air belum sampai ke tahap yang memuncak. Tapi apakah usaha kita sebagai pengguna air? Adakah kita hanya mengharapkan usaha orang lain dan pihak kerajaan semata-mata? Bak kata kawan, tiada petrol habis-habis kereta tidak dapat jalan tapi kalau tiada air...
Semoga kita akan lebih menghargai air yang kita minum dan kita gunakan seharian. Kalau harga minyak naik pun sampai berlaku pergaduhan di stesen minyak akibat berebut untuk mendapatkan minyak pada harga rendah sebelum jam 12 tengahmalam, bagaimana agaknya jika berlaku krisis air di bumi tercinta Sabah...Mudah-mudahan kita dijauhkan daripada malapetaka berkaitan!
Salam Transformasi....