Sunday, May 13, 2012

Panass...Menjelang PRU13: Parlimen Dibubarkan & Dilema Calon Boleh Menang

Sangat hampir! Itulah perkataan yang paling tepat untuk menggambarkan betapa hampirnya tarikh pembubaran Parlimen dan DUN sekaligus berlakunya Pilihanraya Umum ke13 dalam sejarah negara. Ramai kata termasuk pemimpin BN dan pembangkang, PRU13 adalah PRU paling getir dalam sejarah. Benar atau sebaliknya, kita lihat kesudahannya!

Majoriti menjangka PRU13 akan berlangsung dalam bulan Jun 2012. Jika mengambilkira cuti sekolah yang bermula dari 26 Mei hingga 10 Jun 2012, dimana pada tempoh itu diandaikan adalah masa mengundi yang paling sesuai. 

Bermakna jika pada 14 Mei 2012 Isnin, DS Najib membubarkan Parlimen maka cadangan tarikh pengundian semasa cuti persekolahan akan datang ini akan terlaksana. 27hb Mei boleh diambil sebagai tarikh penamaan calon dan dengan memberi maksimum 14 hari tempoh berkempen, 10hb Jun adalah hari pengundian. Jika sepanjang minggu hadapan tiada pembubaran Parlimen dilakukan, bermakna jangkaan tadi tidak lagi relevan. 

Namun, samada DS Najib bergantung kepada senario cuti persekolahan untuk mengadakan pilihanraya bukan sesuatu yang pasti. Pilihanraya atau pengundian pada hujung minggu atau hari Ahad masih boleh dilaksanakan. Sekolah boleh saja diberi cuti peristiwa atau berganti bagi memberi laluan kepada pilihanraya. 

Ada yang mengatakan bahawa jika bukan sekarang, selepas bulan Jun yakni bulan Julai dan Ogos adalah bulan kurang sesuai disebabkan suasana bulan Ramadan dan menyusul musim haji. Mungkinkah pada bulan September yakni sebelum musim haji dan mengambil suasana Hari Raya Aidilfitri maka disulami dengan suasana pilihanraya? Ada yang mengatakan itu juga bukan idea yang baik...

Jika ingin menafsir bahawa pilihanraya akan diadakan pada hujung tahun atau tahun depan, itu juga dilihat amat jauh tersasar. Justeru, umum sudah meneka bahawa masa yang paling sesuai untuk mengadakan pilihanraya adalah sekarang! 

Perhimpunan raksasa UMNO sempena ulangtahun ke 66 minggu ini di Stadium Nsional Bukit Jalil dengan dihadiri lebih 100 ribu ahli UMNO dari seluruh negara adalah indikator kemuncak kepada ilham DS Najib untuk membubarkan Parlimen iaitu selepas `walkabout dan road tour' beliau dan TS Muhyiddin ke seluruh negara. Perhimpunan bersejarah itu adalah petunjuk yang jelas bahawa DS Najib sudah bersedia untuk membubarkan Parlimen. 


 Sudah banyak yang dilakukan oleh DS Najib dan Barisan Nasional. Walaupun sedikit dicacatkan dengan isu `lembu kondo' tetapi sebenarnya puak pembangkang lebih terhiris dengan pelbagai macam isu. Bersih 3.0 pada mulanya diharapkan akan membawa mood antikerajaan dikalangan rakyat ternyata mengundang padah. Kali ini diperingkat nasional, strategi pembangkang tidak menjadi. 

Pembangkang secara jelas berada dikedudukan yang kurang selesa dalam menangani pilihanraya umum ke 13 ini. Sudah pasti kali ini mereka harus bertanding dengan membawa wibawa mereka untuk memimpin negeri dan negara. Mereka telah diuji memerintah dibeberapa negeri. PRU13 adalah medan rakyat menghantar mesej samada mereka berjaya atau sebaliknya. Mereka juga terpaksa berhadapan dengan bermacam-macam idea dan transformasi yang dilaksanakan oleh kerajaan BN. Kali ini pembangkang bakal terkangkang dan akan masuk longkang!



Calon Boleh Menang (Winnable Candidate)
Sesiapa saja yang dipilih menjadi calon BN pada PRU13 akan dikatakan sebagai calon boleh menang sepertimana yang acapkali dinyatakan oleh DS Najib. Soalnya, sejauhmanakah tepat pemilihan tersebut dan sejauhmanakah penerimaan ahli-ahli BN (UMNO dan semua komponennya) dan penerimaan pengundi? Rasanya DS Najib juga mengakui bahawa beliau tidak akan dapat memuaskan hati semua pihak. Percayalah siapa jua yang terpilih nanti pasti akan dipertikai identiti dan kredibiliti calon tersebut dari segi aspek calon boleh menang.

Jika pertikaian seumpama itu berlaku, percayalah...BN mungkin akan menerima nasib yang sama dengan PRU12. Bukan kerana pembangkang bagus atau lebih baik tetapi kerana pemimpin dan ahli-ahli BN sendiri tidak mahukan kemenangan. Mungkin juga DS Najib ada penawarnya? Banyak kes terutama semasa PRU12 yang lalu dan kes UMNO di Kelantan. Meskipun pembangkang mempamer prestasi hampeh! tetapi BN/UMNO terus gagal kerana kerenah pemimpin dan ahli-ahlinya sendiri. Itu cabaran sebenar dalam menghadapi PRU13 kali ini. Masihkah ada sindrom selesa dikalangan pemimpin dan ahli BN?

WT teringat sejurus selepas kemerosotan BN pada PRU12 yang lalu, WT mengatakan kepada beberapa orang pemimpin UMNO bahawa terdapat mentaliti dengan menjawat jawatan sebagai Ketua Bahagian, Pemuda, Wanita, Puteri dan apa jua jawatan dalam hirarki politik maka mereka beranggapan mereka lah paling layak menjadi calon. Itulah puncanya rakyat `marah'. Golongan ini marah dan tidak menerima hakikat jika mereka tidak terpilih. Jatuh imej, airmuka dan segala-galanya pada hemat mereka jika yang dipilih menjadi calon adalah AJK mereka atau ahli biasa parti mereka malah jika profesional di luar yang bukan ahli parti mereka. Pemimpin-pemimpin berkenaan tidak bersetuju langsung dan masih menganggap bahawa jawatan dalam politik adalah tanda aras / benchmark untuk dipilih menjadi calon. WT geleng kepala! Padanlah UMNO dan BN kecundang PRU12 itu.

Soalnya, berapa ramai dikalangan mereka yang berjawatan ini redha jika mereka tidak dipilih menjadi calon boleh menang pada PRU13 nanti? Bagaimana dengan mereka yang melobi siang dan malam sejak beberapa bulan kebelakangan ini? Percayalah, kalaupun tidak semua mereka ini membawa onar kepada calon BN kelak tetap akan ada yang terpekik terlolong mempertikai samada secara senyap mahupun terbuka pemilihan calon boleh menang berkenaan. Jika tersilap langkah, golongan inilah juga yang akan membawa rebah kepada BN kelak. Adakah DS Najib sedar perkara ini? WT amat yakin ini semua sudah diambilkira secara mendalam oleh DS Najib. Skuad pengintai pasukan jawatankuasa disiplin parti tidak memberi kegerunan kepada mereka yang tidak berpuashati ini.

Jika kali ini, ramai calon yang bukan memegang jawatan besar dalam parti diangkat menjadi calon boleh menang oleh DS Najib maka mungkin akan terbukalah sedikit mentaliti selama ini bahawa untuk menjadi calon pilihanraya `wajib' menduduki hirarki parti terlebih dahulu. Ia juga baik dari segi menghapuskan politik wang dalam parti. Ini kerana pasti akan kurang perebutan dalam parti setelah mereka menerima realiti bahawa calon boleh menang dalam pilihanraya tidak semestinya mempunyai jawatan atau dalam hirarki parti. 

Yang pasti, adakah memilih calon boleh menang akan menjadi dilema kepada DS Najib? Memilih calon boleh menang dikalangan mereka yang tidak mempunyai hirarki dalam parti haruslah dianggap salah satu usaha murni dalam arus transformasi politik dalam BN/UMNO. Sewajarnya mereka yang tidak boleh menerima transformasi politik hendaklah berundur dan memberi ruang seluas-luasnya kepada orang lain. Kepada yang terlalu lama duduk ditampuk kerusi wakil rakyat,berundur sepertimana beberapa wakil rakyat yang cukup gentleman mengumumkan untuk berundur pada PRU13 kelak. Berundur bukan bermakna wakil rakyat tersebut tidak lagi menjadi calon boleh menang tetapi dari segi sumbangan dan pemikiran untuk membangunkan masyarakat dipimpinnya sudah menemui titik tepu dan titik noktah. Lagi sekali, ramai mana wakil rakyat sedia ada yang ukur baju dibadan sendiri? Malang juga kadangkala ada wakil rakyat yang syok sendiri.

Semoga kita dapat melihat arus transformasi politik yang positif pada PRU13 kelak. DS Najib harus yakin dan percaya dengan apa jua tindakan politik dengan nawaitu yang mulia beliau pasti akan memperoleh kejayaan untuk agama, bangsa dan negara. InsyaAllah!



No comments: