Oleh : Nor Mohamed Yakcop
MUNCULNYA satu detik, yang jarang sekali berlaku  dalam hidup, apabila suatu peristiwa menakrifkan semula kehidupan  seseorang dan merubah haluan buat selama-lamanya. Bagi saya, pertemuan  dengan Tun Dr Mahathir Mohamad di Buenos Aires, Argentina, pada petang 2  Oktober 1997 merupakan detik itu. Ia membolehkan saya memberi tumpuan  selama enam tahun dalam kehidupan saya untuk berkhidmat dengan beliau,  dan menemuinya hampir setiap hari. Sepanjang proses itu, ia membolehkan  saya melihat lebih dekat keupayaan yang dimiliki insan hebat ini.
Jarang sekali kita melihat gabungan nilai-nilai mulia dalam diri  seseorang, dan gabungan unik inilah yang membolehkan Dr Mahathir  mengubah Malaysia daripada sebuah negara Dunia Ketiga kepada negara  berkembang maju dan bertenaga, dan kini berada pada landasannya untuk  menjadi negara maju. Gabungan kualiti ini jugalah yang membolehkan Dr  Mahathir menyelamatkan Malaysia daripada menjadi sebuah lagi negara IMF  semasa krisis kewangan 1997/98.
Ia bermula pada 29 September 1997, apabila saya menerima panggilan  telefon dari pejabat Perdana Menteri yang memberitahu Dr Mahathir mahu  menemui saya. Beliau berada di Cuba pada ketika itu, dan secara  berseloroh, saya bertanya, adakah saya harus menemuinya di sana!
Saya diberitahu, bukan secara berseloroh, bahawa beliau akan tiba di  Buenos Aires pada 2 Oktober dan saya harus memastikan diri saya berada  di situ sekurang-kurangnya sehari sebelum ketibaan beliau. Saya segera  berlepas ke Argentina, dan tiba pada 1 Oktober.
Perdana Menteri tiba pada 5 petang hari berikutnya dan kami segera  bertemu di suite beliau. Dr Mahathir memberitahu, beliau telah bertanya  ramai orang mengenai punca krisis kewangan tetapi tiada siapa mampu  memberi penjelasan memuaskan. Beliau bertanya sama ada saya boleh  menjelaskan apa sebenarnya yang berlaku.
Saya bertanya berapa banyak masa beliau ada. Dua jam, katanya. Saya  pun menjelaskan bagaimana pasaran pertukaran asing berlaku, tentang  kedudukan jangka pendek dan panjang, mengenai perlindungan nilai,  bagaimana matawang dipinjam dan dijual, perbezaan "tawaran" dan  "penawaran" serta bagaimana dana boleh dipindahkan di antara negara  hanya dengan satu klik. Saya juga menjelaskan bagaimana pasaran ekuiti  berlaku dan hubungan antara pasaran tukaran mata wang asing dan pasaran  ekuiti. Dr Mahathir langsung tidak bercakap, kecuali bertanya satu atau  dua soalan, dan mendengar penuh mendalam.
Selepas dua jam, beliau terpaksa menamatkan pertemuan itu untuk  bersedia ke majlis makan malam rasmi. Beliau bertanya rancangan saya  untuk malam itu dan saya memberitahu bahawa saya turut dijemput ke  majlis yang sama. Dr Mahathir berkata: "Pulang ke bilik anda dan tulis  semua yang anda beritahu sejak dua jam lepas, dan jumpa saya 7 pagi  esok." Saya kembali ke bilik saya, tidak ke majlis makan malam dan  menulis kesemuanya, yang selesai kira-kira 6 pagi.
Laporan
Saya menyerahkan laporan itu padanya sejam kemudian. Beliau menyuruh  saya berehat dan menemuinya semula pada 2 petang. Apabila saya kembali  menemuinya, beliau memberitahu beliau telah membaca laporan itu dan  faham apa yang berlaku dalam pasaran kewangan. Kami mula membincangkan  pelbagai kaedah untuk mengatasi krisis itu, dan perbincangan kami  diteruskan selepas pulang ke Malaysia. Saya menemui beliau hampir setiap  hari, kadang kala di kediaman beliau, dan pada masa lain di pejabat  beliau. Kami mencuba beberapa mekanisme untuk mengatasi krisis itu, ada  antaranya yang berfungsi pada mulanya, tetapi dana lindung nilai begitu  kukuh hingga sukar untuk meneruskan penggunaan mekanisme itu dengan  jayanya.
Pada awal 1998, Dr Mahathir meminta saya menerokai idea untuk  mengenakan rejim kawalan pertukaran bagi mengatasi krisis itu. Saya  masih ingat bagaimana saya menyediakan banyak nota mengenai perkara itu.  Dr Mahathir meneliti nota-nota itu, dan sentiasa meminta maklumat demi  maklumat. Kami telah melalui banyak pusingan perbincangan, sehingga  beliau akhirnya yakin dengan kedua-dua konsep dan mekanisme yang  dicadangkan. Selebihnya, saya rasa sudah menjadi sejarah.
Dr Mahathir juga meminta saya menyediakan satu kertas kerja mengenai  bagaimana menamatkan dagangan saham-saham Malaysia di CLOB (Central  Limit Order Book) di Singapura. Beliau berpendapat, satu sebab penting  mengakibatkan pasaran saham jatuh ialah jualan singkat saham Malaysia di  CLOB. Saya menyediakan laporan dan Dr Mahathir memahami, buat pertama  kalinya, bagaimana CLOB beroperasi. Laporan itu, yang turut dilaksanakan  pada 1 September 1998, telah menamatkan perdagangan saham Malaysia di  CLOB.
Saya perlu menyatakan bahawa langkah-langkah kawalan pertukaran telah  direka sedemikian rupa untuk meminimumkan aspek-aspek kawalan dan  memaksimumkan hasil. Dr Mahathir telah meneliti banyak kali mekanisme  yang dicadangkan itu untuk memastikan hanya ada sedikit elemen kawalan  tetapi mencukupi untuk memastikan hasil yang positif. Tidak ada elemen  birokrasi dalam langkah-langkah itu, seperti mewajibkan pengimport untuk  mendapatkan kebenaran Bank Negara bagi mengimport. Ringgit juga  ditambat pada tahap di mana ia tidak terlebih nilai.
Di hampir setiap negara lain yang mengenakan langkah-langkah kawalan  pertukaran dan penambatan matawang, secara definisinya, banyak kawalan  birokrasi dan matawang juga ditambat pada kadar terlebih nilai.
Sistem kawalan pertukaran (termasuk kadar pertukaran tetap), yang  dilaksanakan pada 1 September 1998, sering dianggap sebagai penyelamat  negara. Langkah itu sememangnya diperlukan tetapi ia tidak cukup untuk  mengatasi krisis itu. Malaysia diselamatkan, bukan dengan kawalan  pertukaran itu sendiri, tetapi oleh Dr Mahathir.
Biar saya jelaskan. Jika mana-mana negara membangun lain, yang  menghadapi krisis sama, memperkenalkan langkah yang kita perkenalkan  pada September 1998, ia mungkin gagal. Langkah-langkah itu berjaya di  Malaysia adalah kerana keupayaan dan watak Dr Mahathir. Ekonomi dan  sistem kewangan, di bawah kepimpinannya berada dalam keadaan sihat -  cukup sihat untuk membolehkan langkah-langkah kawalan pertukaran  dilaksanakan tanpa kesan negatif. Selain itu, gaya pengurusan kendiri  Perdana Menteri membolehkan keputusan cepat dan tepat pada masanya  dibuat, yang penting di bawah rejim kawalan pertukaran baru.
Beliau memastikan ekonomi Malaysia pada asasnya kukuh. Ringgit kukuh  dan stabil. Di belakang kestabilan matawang (pada RM2.50 berbanding  dolar Amerika Syarikat), Malaysia berada pada kedudukan amat baik. Pada  akhir 1996, keluaran dalam negara kasar berkembang hampir 8.5 peratus  dan pertumbuhan itu dijangka berterusan untuk tahun-tahun mendatang.  Kerajaan telah menikmati lebihan fiskal. Hutang luar negara adalah  rendah, pada 40 peratus daripada keluaran negara kasar. Akaun matawang  dari imbangan pembayaran telah mengecil daripada defisit 10 peratus  kepada lima peratus daripada KNK, dan dijangka terus bertambah baik.  Inflasi berada pada tahap paling rendah iaitu 2.1 peratus. Kita  mempunyai pertumbuhan kukuh lebih lapan peratus bagi sebahagian besar  tempoh itu. Dan kekuatan asas ini merupakan faktor penting yang  membolehkan langkah kawalan pertukaran berjaya.
Meneliti
Selama lebih setahun lepas langkah 1 September 1998 itu, Perdana  Menteri bertemu kumpulan kecil kami enam hari seminggu -  sekurang-kurangnya dua jam sehari - bagi meneliti pelbagai data ekonomi  termasuk mengenai pertumbuhan pinjaman, eksport, import dan hartanah  tidak terjual. Ini membolehkan beliau mengambil tindakan cepat, pada  bila-bila masa perlu. Saya masih ingat satu pagi, semasa kami sedang  meneliti angka-angka hartanah, beliau memandang saya dan mengarahkan  saya menganjurkan pameran untuk menghabiskan hartanah yang tidak  terjual. Saya lakukannya, dan hartanah bernilai lebih RM3 bilion telah  dijual. Malah selepas berakhirnya krisis itu, Dr Mahathir terus menemui  kumpulan kami, walaupun tidak sekerap sebelumnya. Dan Dr Mahathir terus  meneliti semua data ekonomi dengan pensel tajam.
Tempoh 1997/98 adalah, mengikut parafrasa Charles Dickens, masa  terburuk, tetapi ia juga masa terbaik. Keadaan paling buruk telah  menyerlahkan yang terbaik dalam diri Dr Mahathir. Ada perumpamaan  mengatakan pemimpin yang baik adalah seperti teh yang baik - anda hanya  mengetahui kualiti sebenarnya apabila beliau berada dalam keadaan panas!
Sepanjang tempoh krisis, Perdana Menteri memberi tumpuan pada usaha  mengatasinya. Siang malam, tiada perkara lain difikirkannya. Beliau  membaca segala yang boleh mengenai kewangan; beliau terus meminta saya  menyediakan nota-nota pelbagai isu teknikal. Kadang kala, walaupun  selesema, beliau tetap bekerja. Beliau sedar beliau perlu memahami  isu-isu berkenaan sebelum boleh berusaha mencari penyelesaian.  Kepintaran semula jadi dan keupayaan beliau memberi tumpuan pada isu-isu  teras sentiasa terserlah sepanjang krisis itu. Beliau tidak menunjukkan  tanda takut walaupun dalam masa terburuk; satu-satunya kebimbangan  beliau ialah keadaan ekonomi yang cepat merosot. Pada setiap masa,  beliau yakin akan berjaya akhirnya.
Saya ingin menambah dua lagi perkara. Pertama, dalam melaksanakan  langkah 1 September 1998, Dr Mahathir bukan saja menyelamatkan Malaysia  malah negara-negara jiran juga. 
Apabila Malaysia mengenakan langkah kawalan pertukaran, spekulator  matawang menyedari negara lain yang terjejas (Thailand, Indonesia dan  Korea Selatan) juga boleh mengenakan kawalan yang sama, dan mereka,  dengan itu menghentikan aktiviti mereka. Spekulator menarik diri. Mereka  membeli semula matawang yang mereka jual. Ini mengakibatkan kenaikan  nilai mata wang serantau.
Selain itu, IMF tidak berpuas hati dengan tindakan Malaysia  terutamanya sejak selepas melaksanakan langkah-langkah itu, kita  melakukan perkara sebaliknya daripada apa yang IMF mahu - kita turunkan  kadar faedah dan menyuntik kecairan dalam sistem. IMF kemudian mula  melonggarkan syarat di negara lain dan membenarkan mereka merendahkan  kadar faedah dan menyuntik kecairan bagi merangsang ekonomi mereka  supaya Malaysia tidak mengatasi negara-negara IMF itu. 
Perkara kedua ialah apa yang akan terjadi jika langkah kawalan  pertukaran tidak dilaksanakan. Banyak syarikat di Malaysia mungkin  gulung tikar akibat kadar faedah tinggi. Apabila syarikat jatuh seperti  domino, bank akan menghadapi masalah kecairan dan mampu bayar yang teruk  berikutan pinjaman tidak berbayar semakin membesar.
Masalah yang dihadapi oleh bank akan menyebabkan berlakunya tekanan  kredit, yang akan membawa kepada satu lagi pusingan kegagalan korporat.  Pendapatan kerajaan mungkin merosot dengan mendadak kerana kurang firma  akan membayar cukai korporat, dengan itu mengurangkan keupayaan kerajaan  untuk merangsang ekonomi melalui langkah dasar fiskal. Akibat daripada  masalah yang dihadapi syarikat dan bank, kadar pengangguran akan  meningkat dengan ketara, yang membawa kepada pusingan masalah kedua.
Ini adalah putaran ganas yang klasik, yang akhirnya boleh memusnahkan  kestabilan sosial dan politik negara. Ini adalah senario yang menunggu  untuk berlaku. Namun, ia tidak berlaku kerana ketegasan dan keberanian  Dr Mahathir, yang memutuskan untuk berusaha melalui jalan yang jarang  dilalui. (less path travelled)