Wednesday, March 25, 2009

TAHNIAH KJ, TAHNIAH SHAHRIZAT, TAHNIAH ROSNAH...


Warisan Tamar
26 Mac 2009, Khamis


SEKALUNG tahniah kepada Sdr YB Khairy Jamaluddin (KJ) atas kemenangan sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang baru. Demikian juga kepada Datuk Shahrizat Abd Jalil (Ketua Wanita UMNO Malaysia) dan YB Datuk Rosnah Rashid Shirlin (Ketua Puteri UMNO Malaysia). Syabas juga kepada YB Datuk Razali Ibrahim, Datuk Kamalia dan Shahanim atas kemenangan selaku Naib Pemuda, Wanita dan Puteri. Tidak lupa barisan EXCO Pergerakan masing-masing yang terpilih untuk berada di atas pentas kepimpinan, SYABAS & TAHNIAH untuk semua.

Trend undi perwakilan untuk memilih Ketua yang baru adalah terarah kepada sokongan terhadap bekas Naib Pergerakan masing-masing. Bahasa mudah, menaikkan pangkat Naib masing-masing untuk menerajui Pergerakan. Suasana hangat di siang hari semalam agak reda dan semakin mendingin tatkala hujan turun agak lebat di kawasan PWTC. Namun tiada insiden yang ganas atau diluar etika meskipun ramai yang `kecundang’ dalam pertandingan. Itulah adat bertanding!

Pelbagai ulasan dan andaian samada semasa pengundian sedang berjalan, semasa menanti keputusan diumumkan dan selepas keputusan diumumkan. Namun, kepentingan parti haruslah diutamakan. UMNO tidak mampu untuk menghadapi apa jua jenis atau jenama perpecahan akibat pertandingan secara keluarga ini. Secara kasar, di pihak yang kalah mereka menerima kekalahan dengan hati terbuka. Dipihak yang menang pula tidak kelihatan riak angkuh dan berbangga-bangga yang berlebihan malah Ketua Pergerakan yang baru dalam ucapan penangguhan ringkas mereka, amat menekankan supaya perpaduan diperkukuhkan semula.

Saya berharap tiada siapa perlu merasa terpinggir. Kejayaan mereka adalah kejayaan UMNO. Seperti kata DS Najib, apalah ertinya kemenangan dalam parti jika UMNO kalah dan tersungkur pada PRU13 kelak. Ayuh! Tiada masa untuk berpesta. Banyak tugasan perlu diselesaikan. Barisan EXCO yang terpilih, yang saya percaya datang dari kem yang berbeza...hendaklah memberikan sepenuh kerjasama kepada ketua yang dipilih. Jangan jadi duri dalam daging...

Salam Transformasi....