Monday, March 23, 2009

PWTC KECOH!!!?


Warisan Tamar
23 Mac 2009, Isnin

ESOK maka bermulalah persidangan Agung UMNO (PAU) ke 29 yang telah tertangguh sejak tahun lepas 2008 lagi. Ironinya PAU kali ini amat ditunggu-tunggu oleh ahli-ahli UMNO dan rakyat umumnya. Pemilihan kepimpinan merupakan agenda utama PAU kali ini dan pelbagai kisah suka duka telah dipaparkan dimedia-media massa dan elektronik. Malah para bloggers juga tidak ketinggalan menulis ulasan dan pandangan masing-masing. Ramai calon-calon juga mempunyai blog mereka sendiri, salah satunya sebagai senjata kempen mereka dan kononnya tidak mahu ketinggalan arus perubahan komunikasi.

Mesyuarat Orang UMNO

Sejak beberapa hari yang lalu, kotaraya KL sudah mula didatangi oleh ramai `orang-orang politik’ samada dari kelompok calon mahupun ejen, tukang kempen, penganalisis tidak rasmi dan sebagainya. Jika berjalan kaki disekitar The Mall atau PWTC, nyonya menjual buah di bawah pokok pun tahu bahawa orang semakin ramai kerana ada mesyuarat orang UMNO. Restoran Putra bersebelahan PWTC juga sudah mula memasang kanopi…bukan sebab ada kenduri kahwin tapi macha tukang ambil order pun tahu bahawa orang semakin ramai kerana ada mesyuarat orang UMNO. Di hadapan The Mall pula kalau pada hari biasa menjadi lubuk jokey-jokey letak kereta ekslusif tapi sejak minggu lepas sudah ada kanopi menjual pelbagai juadah…Jangan terkejut, kateringnya milik Tropicana Golf & Resort. Saya sempat berseloroh dengan pelayan (bahasa hotel: waiter/waiteress), You all buka gerai makan ni sebab padang golf lenggang ke dalam seminggu dua ni? Pelayan cuma tersengih masam. Pengusaha hotel murah apalagi yang berbintang-bintang sudah tidak menang tangan melayan permintaan untuk bilik-bilik tidur. Hotel `cokia’ pun sudah pandai naik harga dengan alasan bahawa orang semakin ramai kerana ada mesyuarat orang UMNO. Demikianlah serba sedikit suasana persekitaran PWTC lokasi dimana PAU 2009 akan berlangsung. Kata sahabat saya, itu suasana biasa semasa PAU berlangsung…saban kali PAU diadakan hotel naik harga, jualan makanan minuman meningkat berkali ganda dan sebagainya. Cuma yang luar biasanya ialah bahang pemilihan kali ini. Yang pasti ia lebih hangat dari biasa…lebih panas dari 1993!

Presiden UMNO

DS Najib bakal dinobatkan sebagai Presiden UMNO. Semalam beliau secara berlapik dan berhati-hati bersuara menyentuh beberapa aspek di program Dialog@1 jam 930 malam dan temubual bersamanya juga dicatatkan di dalam akhbar perdana Mingguan Malaysia dan Berita Minggu. Seperti kata beliau, beliau ada `formula’ untuk dikemukakan dan dilaksanakan sebagai langkah pembaharuan dan pemulihan UMNO dan kerajaan. Namun perkara utama selepas beliau `dirasmikan’ sebagai Presiden UMNO dan Perdana Menteri Malaysia ke 6 yang akan dilakukan beliau dan akan dilihat oleh seluruh rakyat Malaysia ialah memilih barisan cabinet yang diterima rakyat dan ucapan sulung beliau selain pindaan perlembagaan UMNO. Cuma lagi sejak dua tiga menjak ini juga kedengaran bermacam persepsi bahawa Pak Lah tidak akan menyerahkan kerusi Perdana Menteri kepada DS Najib. Yang pasti Pak Lah tidak layak bertanding Presiden UMNO sebab tiada pencalonan diterima…

Timbalan Presiden UMNO

Dulu 3 penjuru kini cuma tinggal 2 penjuru. Kenapa? Semua tahu jawapannya! Antara Muhyiddin dan Muhammad, siapa pilihan perwakilan? Saya mendengar dan membaca pelbagai maklumat yang pada saya tidak semua betul dan tidak semua juga palsu. Sipolan kata calon ini pro Cina, calon ini tidak fasih berbangsa Inggeris, calon ini ada isu moral, calon ini tidak mesra rakyat…dan sebagainya. Tapi walaubagaimanapun kecaman dan kutukan terhadap DS Ali Rustam yang `dikecualikan’ dari pertandingan ini disaat bahang pertandingan semakin meluap-luap, namun contohilah kesetiaannya kepada parti. DS Ali tidak gembira dengan keputusan Lembaga Disiplin…macam Wayne Rooney dilayangkan kad merah dihujung permainan semasa Man Utd tewas kali kedua menentang Fulham baru-baru ini. Mana mungkin DS Ali terkinja-kinja riang ria pulak…Dengar cerita, kaki judi pun tidak setuju bilamana DS Ali terkeluar dari saingan sebab bidaan judi sedikit mengecil…kalau ada 3 kuda lumba lagi banyak bidaan judi dapat dibuat. Itu kisah kaki judi…

Soal siapa menang Timbalan Presiden UMNO amat penting kesudahannya. Dia juga bakal menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Jadi persaingan merebut kerusi Timbalan Presiden bukanlah calang-calang. Saya menerima info salah seorang calon jawatan ini ditawarkan wang tunai sehingga puluhan juta RM asalkan satu projek ini dihulurkan. Wang itu ditawarkan untuk digunakan sebagai pelincir semasa persaingan sengit ini berlangsung. Tapi tabik kepada calon ini, saya diberitahu beliau menolak dengan baik. Malah pihak penawar juga menghormati integriti calon ini dan akur bahawa jawatan ini tidak sama sekali dapat dibeli dengan wang ringgit yang mana 7 keturunan pun tidak akan habis. Mudah-mudahan ia satu permulaan kecil untuk mengatakan tidak kepada politik wang. Saya akan mengundi calon itu dalam mimpi!!! Realitinya hanya perwakilan yang berintegriti sahaja akan mengundi beliau. Kalau tidak, mandi kuyuplah perwakilan dengan taburan wang tunai tadi…

Naib Presiden UMNO

Ada 8 orang orang kenamaan akan bertanding jawatan ini. Paling cikai jawatan calon ialah Pengerusi RISDA, Tan Sri Rahim Tamby Chik. Tapi Tan Sri Isa juga yang bertanding tanpa jawatan power…Yang lain adalah menteri cabinet. Ada 6 calon bertitle Datuk Seri dan 2 orang Tan Sri. Kira kalau setakat ada pingat Datuk atau Dato’ itu kira belum boleh masuk `ringking @ ranking’ calon jawatan inilah…Daripada senarai itu, yang pasti ada 5 calon akan kalah. Hanya ada 3 calon akan diisytiharkan pemenang. Tapi apa cerita kalau calon keempat atau kelima nanti juga mendapat undi sama banyak dengan calon ketiga..Pendek kata ada calon mendapat keputusan seri. Ini sahabat non-partisan bertanya saya…saya jawab, itu kena buka ketua jawatankuasa pemilihanlah…kalau tiada penyelesaian…lambung duit syilinglah kot…

Siapakah 3 pemenang jawatan ini? Tokey judi pun buka juga bidaan judi untuk pertandingan ini…lagi banyak masyuk! Ada orang kata siapa tabor RM paling banyak akan masuk `ringking’ tapi siapakah yang tabor RM paling banyak? Saya tidak tahu tapi perwakilan mesti tahu…Perwakilan juga tahu siapa yang tidak hulur RM. Saya dapat info, ada satu calon bersedekah kitab suci Al-Quran. Penerima cakap, ini tidak dikira politik wang ke? Kesian calon itu, entah2 memang dia bernazar atau berniat baik untuk bersedekah kitab suci itu dan ada pula penerimanya ialah perwakilan. Di saat begini apa saja yang dihulur boleh memberi persepsi politik. Pembaca janganlah cepat berfikiran negative. Malah perwakilan pun hendaklah berfikiran positif…Positif bila terima wang politik..hehehe. Sahabat saya mencadangkan supaya para perwakilan bersumpah muhabalah bahawa jika mereka menerima wang yang disogokkan maka kecelakaan akan menimpa mereka. Takut ke perwakilan itu nanti? Saya pula cadangkan supaya semua calon-calon atas bawah berkongsi sama rata beli dan sogokkan para perwakilan dengan buku kisah hidup Rasullah S.A.W. Dalam buku tu bolehlah ditulis diwakafkan oleh calon-calon PAU UMNO 2008. Ini akan dinamakan sogokan bentuk baru – politik buku! Jangan ketawa dan jangan kata idea ini idea kartun Doraemon. Paling bagus, jadilah perwakilan berintegriti.

3 calon jawatan ini juga saya undi dalam mimpi. Macam main tikam-tikam. Kalau kena kita kesiokan tapi kalau kalah pun saya anggap biasa saja. Esoknya boleh duduk kedai kopi dan buat analisis tidak bertauliah di kedai-kedai kopi…

Ahli Majlis Tertinggi UMNO

Ada 51 calon tapi seorang `ditarik diri’ hari ini sebab kes main-main duit kononnya. Yang dipilih cuma 25 orang. Kalau tidak silap saya ada 9 Menteri, 9 Timbalan Menteri dan 5 Menteri Besar/Ketua Menteri bertanding. Kalaulah semua menang maka ada cuma tinggal 2 kerusi kosong sebagai AMT saja. Yang 2 orang ini nanti duduk atas pentas pun di barisan paling belakang dan paling tersorok. Kamera pun tidak dapat ambil gambar mereka. Tapi peduli apa sebab yang 2 orang ini lah yang paling glamour sebenarnya….silap haribulan kalau sebelum ini mereka cuma Ahli Parlimen atau ADUN biasa, Lepas ini bolehlah dapat jawatan kerajaan yang lebih power juga…kalau setakat Ketua Bahagian UMNO, silap haribulan boleh merasa jadi Ahli Dewan Negara dengan gelaran Senator.

Tapi adakah semua Menteri, Timbalan Menteri dan MB/KM akan menang? Nasib baik jawatan Setiausaha Parlimen sudah `dibekukan’ kalau tidak gerenti akan ada penjawat jawatan-jawatan ini yang akan kalah. Adakah calon tanpa title tanpa `kuasa’ tidak layak menjadi AMT? Sahabat saya cakap, alangkah bestnya kalau pemilihan ini berlangsung setiap tahun sebab sepanjang tahun calon-calon ini akan sentiasa `bersama rakyat’. Kenapa? Lepas pemilihan ini, dia kata kalau mahu berjumpa dengan Pak Menteri pun adalah satu masalah besar. Tapi semasa pemilihan mahu masuk pejabat Menteri dan minta duduk di kerusi empuk pejabat mereka dan ambil gambar pun Pak Menteri tidak kisah. Tapi kena ada syarat lah…apa syarat? Kamu mestilah perwakilan sebenar!!! Susah sekarang sebab gambar perwakilan pun ada di dalam website. Jadi kena pandai kelentonglah!

Siapa 25 calon AMT pilihan saya? Yang ini saya tidak undi dalam mimpi sebab nanti takut sedang seronok-seronok mengundi saya tersedar dari tidur. Ramai sangat lah…Cuma saya berharap perwakilan sebenar akan memberi lebih peluang kepada calon bukan berjawatan. Jangan lah kasi mereka cuma 2 kerusi…kalau boleh kasi mereka ni top 5. Mudah-mudahan kerusi mereka atas pentas nanti tidaklah tersorok dibelakang!!! Saya plan mahu undi DS Nazri Aziz tapi rupanya dia tidak bertanding. Alasan? Sudah puas duduk AMT. Mahu tanding Naib Presiden tapi DS Nazri cakap, lawan dia nanti adalah junior dia dalam parti dan kerajaan…so, apa barang…!!! Paling koman pun, dia layak dipertimbangkan ke jawatan Timbalan Presiden. Tapi masalahnya tiada pencalonan…Tidak mengapa, lain kali kita cadangkan dia bertanding Pengerusi Tetap sajalah…duduk pun di atas kan!!!


Ketua Pemuda UMNO

Ada 3 calon sahih. Seorang calon bernasib baik sebab cuma dilayangkan kad kuning sahaja! Walaupun melakukan kesalahan atas padang tetapi tidak diperintahkan keluar padang. Pengadil dianggap berat sebelah walaupun kesalahan melakukan terjahan keras ke atas perwakilan adalah kesalahan sama yang dilakukan oleh DS Ali. Tidak pasal-pasal, pengadil kena maki hamun! Ada yang cakap bagus main ini game tanpa pengadil!!! Memang sadis bila penyokong tidak berpuas hati.

Antara MM,KJ & KT siapakah pilihan pemuda UMNO? Baru ni saya menulis selepas mereka `berhujah @ TV9’…bahawa kalau saya mengundi maka saya sudah shortlisted kan MM & KT. Seorang kawan yang membaca tulisan saya, SMS saya – Bro, ko anti KJ ke? Saya jawab : Apasal tidak tanya, aku pro MM atau KT? Akhirnya kami bersembang dikedai mamak di Wangsa Maju. Saya macam juga DS Najib, masih `merahsiakan’ pilihan hati. Macam DS Najib bagi hint, saya pun bagi hint…

MM- mendapat jumlah pencalonan tertinggi tapi biasa berlaku juga pencalonan terbanyak akhirnya terduduk kalah!, paling tua diantara calon KP, anak mantan PM dan amat `pedas’ mengkritik kepimpinan Pak Lah. Secara umumnya, beliau diminati oleh `urban young’ dan mempunyai prinsip yang kuat…tanpa dolak dalih. Umum juga melihat beliau dipengaruhi kuat oleh pemikiran ayahanda beliau, Tun Mahathir! Yang anti Mahathir, mungkin sukar menerima beliau.

KT- gaya bercakap memang power…biasalah sebagai bekas MB. Kalau setakat urusan berucap rasmi merasmi majlis ni kacang saja bagi dia. Itu pasal anugerah penyapu pun dia yang ilhamkan. Kekuatan KT, secara peribadi bagi saya adalah dirinya yang berasal dari kehidupan kampong. Saya biasa berjalan di kawasan kampong beliau apalagi Naib Ketua Pemuda UMNO yang baru di kawasan beliau adalah rakan sekolah saya. Melalui beliau saya memperolehi banyak cerita kehidupan susah KT terutama cabaran semasa belajar. Ringkasnya, macam KT cakap `hanya orang kampong tahu masalah orang kampung’…maaf kalau salah tapi lebih kurang lah begitu atau `hanya orang susah tahu masalah orang susah’…Bayangkan semasa PRU10 tahun 1999 beliau macam juga DS Najib, Cuma menang majority sangat kecil…setelah meneliti masalah orang kampong dan diselesaikan dengan cemerlang, beliau menang besar pada PRU12 malah PRU13 yang lalu. Pokoknya bukan mudah, seorang muda menjadi MB disebuah negeri yang maju dan pelbagai hiruk pikuknya seperti Selangor. Lawan boleh mengatakan beliau tidak layak menjadi Ketua Pemuda sebab Selangor pun boleh terlepas kepada PR…inikan pula mahu memimpin pemuda! Tapi kalau pemuda ada masalah gigi, saya masih gerenti, KT masih mampu menguruskannya!!!

KJ- Kelompok PR paling bengang dengan brader ini. Tun M kata KJ lah kepala di Tingkat 4. KJ lah penentu apa perlu Pak Lah buat untuk negara. Malah KJ juga menjadi penyebab keputusan PRU13 yang macam hampeh! KJ cuma anak menantu kepada PM. Kalaulah dia ni anak Pak Lah macam Kamaludin dan Nori, aku rasa mahu berjihad puak-puak penentang menumbangkan KJ ni…Pertama kali saya melihat anak muda ni…di KLIA, Kompleks Bunga Raya (tempat VVIP take off dan landing kapal terbang). Masa itu menyampah sebab, bayangkan seorang tua yang menyambut beliau dari kereta sanggup mencium tangan KJ. Apa punya taksublah orang tua ni…kalaulah KJ ni jadi PM termuda mahu orang tua tu cium kaki KJ.

Perasaan menyampah tambah meluap bila tahu KJ ni lebih muda daripada saya…tapi punya lambung orang kepada dia sampai lupa KJ pun manusia biasa. Persepsi juga mengheret saya untuk mempercayai bahawa gerakan di Tingkat 4 memang berketuakan insan bernama KJ. Namun sehinggalah PRK Ijok pada tahun 2007, dimana penyokong lawan khususnya PAS dan PKR menghentam cukup2 KJ samada di blog mahupun semasa kempen. Persepsi saya berubah apabila melihat bahawa anak muda ini memang ada keberanian. Kalau masa ini KJ ambil saya jadi `orang kuat’ beliau sudah pasti saya sanggup jadi bodyguard KJ…hehehe. Memang berbeza jika kita melihat beliau dengan mata kepala sendiri terutamanya bila melihat beliau bekerja/berkempen. Beliau telah mengimbangi Ketua beliau sendiri iaitu Datuk Hisham. Maksudnya, beliau menjadi penolong/pembantu yang meringankan beban Ketua. Beliau adalah seorang pemuda UMNO yang berani duduk diatas pentas milik PAS. Beliau persetankan ejekan ahli PAS, dengan selamba beliau berhujah didepan ribuan orang PAS…yang lain? Ada berani…?

Akhirnya, pada saya KJ mempunyai kekuatan tersendiri untuk menerajui pemuda UMNO. Tapi…ada tapi juga lah…samada KJ dapat menepis persepsi politik bahawa beliau naik dan menjadi Ahli Parlimen Rembau disebabkan beliau adalah anak menantu kesayangan Pak Lah atau tidak. Kalau beliau kalah dalam persaingan ini ia adalah kerana persepsi ini. Kesian anak muda ini…kalaulah beliau bertanding semasa Pak Lah sudah tiada power dalam UMNO dan kerajaan, saya percaya…KJ akan memberi saingan tanpa dibebani persepsi politik semasa.

Kesimpulannya, siapa saya undi dalam mimpi untuk jawatan KP ini?...Jangan ketawa lah bro…Nanti hari Jumaat (27 Mac) saya umumkan. Inikan namanya politik…..


Naib Ketua Pemuda UMNO dan sebagainya….

Mengapa dan sebagainya?...Ia termasuklah pertandingan makcik-makcik dalam Wanita dan gadis-gadis serta mak-mak gadis dalam Puteri. Yang ini saya rasa mimpi saya pun sudah habis. So, tidak sempat mengundi…Saya cuma mahu sentuh bahawa makcik-makcik dan gadis-gadis ini pun boleh tahan juga kaedah kempen mereka…umpat mengumpat selalu dipadankan dengan kaum Hawa. Kalau mendengar cara berpolitik kaum Ibu dan anak dara dan tidak dara ini, mereka bukan kaum Hawa yang terkenal dengan lemah dan lembutnya lagi…mereka pun ganas juga! Politik wang??? Siapa cakap tiada…tapi jangan cakap kalau tiada bukti…kalau kasi barang kemas kepada perwakilan itu bukan politik wang ke?...oppss…itu politik barang kemas…maafkan saya!

Antara Razali dan Rezal? Yang pasti siapa pun menang…persepsi politiknya tidak seganas persepsi politik yang dialami oleh Naib Ketua Pemuda UMNO sekarang!


Akhir kalam, saya mengucapkan Selamat Bersidang dan semoga perwakilan yang dipilih samada secara telus ataupun secara fulus, fikirkanlah bahawa transformasi politik UMNO tidak akan kemana jika pemimpin yang dipilih kelak adalah pemimpin yang hampeh!!!


Salam Transformasi…

No comments: