Wednesday, November 19, 2008

EKONOMI LEMBAB POLITIK HANGAT

Warisan Tamar
18 November 2008 Selasa


SUDAH agak lama saya tidak melontarkan pandangan dalam blog ini atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Walaubagaimanapun, saya terus dan kekal mengikuti perkembangan politik tanahair. Malah dalam suasana sekarang tumpuan juga harus diarahkan kepada keadaan ekonomi malah sosial dalam negara yang tidak kurang hangatnya. Saya tidaklah berniat untuk mengulang atau menulis panjang tentang apa yang berlaku dalam negara dalam beberapa minggu ini terutamanya dari sudut politik. Tetapi secara umumnya, kalau cerita politik tetap politik jugalah. Kata orang dalam suasana ekonomi yang bergerak perlahan kini, cerita politiklah yang kekal paling rancak dan bertali arus perbahasannya terutamanya dimeja-meja kedai kopi.

Bagi kelompok korporat mahupun mereka yang berada di bawah payung syarikat besar atau kecil, tumpuan dan usaha tuntas sedang dihalakan dalam mencari dan merangka perancangan kewangan terutamanya bagi menghadapi tahun 2009. Usaha untuk mengurangkan atau meminimakan kos operasi dalam pelbagai cara merupakan agenda utama bakal dilaksanakan untuk berhadapan dengan tahun ekonomi yang dianggap sukar iaitu tahun 2009. Itulah tumpuan tenaga pengerak syarikat-syarikat terutamanya di ibukota Kuala Lumpur. Tahun 2009 memang tahun yang agak sukar untuk syarikat-syarikat besar dan kecil. Ini juga bakal menguji sejauhmana akal dan strategi untuk mengekang kelembapan ekonomi dan mengekalkan perkhidmatan di tahap yang tertinggi. Malangnya, secara peribadi saya tidak nampak kesungguhan rakan-rakan di sektor awam dalam mendepani masalah yang hangat dibicarakan bukan setakat di arena domestik malah menjangkau ke peringkat global. Mungkin ada usaha ke arah itu tetapi ia mungkin tidak segigih rakan-rakan di sektor swasta. Bak kata orang bekerja dengan sektor awam tetap ada gaji walaupun ekonomi merudum. Dan itu jugalah sebabnya ramai termasuk saya sendiri suatu masa dulu amat teruja dan bercita-cita besar untuk memegang jawatan dalam sektor awam. Namun, apakah kepercayaan sedemikian akan berkekalan sampai bila-bila?

Kita amat bernasib baik. Kerajaan diperingkat pusat masih cukup kuat untuk mengharungi saat-saat sukar ini. Kita masih memiliki kabinet yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman luas dalam merungkaikan masalah ekonomi. Meskipun ada berkata, ada juga anggota kabinet yang hanya meletakkan posisi diri di dalam barisan kabinet tetapi realitinya masih ramai individu yang jauh berkemampuan terutamanya dalam mengekang kemelesetan ekonomi dan dalam soal pengurusan yang berkesan.

Bagi yang kurang mahir ekonomi sudah tentu beranggapan bajet alternatif oleh pembangkang yang mencadangkan perbelanjaan kerajaan dikurangkan kira-kira RM24 bilion adalah satu langkah jimat cermat. Manakala kerajaan BN sekarang akan `membazir’ RM24 bilion. Sebab itu bajet 2009 yang mencatatkan defisit adalah antara langkah kerajaan agar suntikan perbelanjaan yang besar akan merangsang ekonomi dalam negara. Pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan juga langkah yang pre-emptive untuk mendepani masalah ekonomi global agar tempiasnya tidak begitu membasahi asas ekonomi negara yang amat penting kepada kesejahteraan rakyat amnya.

Dan paling penting, kakitangan sekotr awam haruslah mensyukuri bahawa 2009 mereka masih mempunyai pendapatan dan mengekalkan pendapatan boleh guna mereka walaupun tidak dinafikan akan mengalami pengecutan khususnya faktor kenaikan harga dan inflasi. Kerajaan berusaha gigih agar kadar inflasi dapat diturunkan di bawah kadar semasa iaitu sekitar 8% dan kerajaan juga yakin mampu mengawal kadar pengangguran di tahap 4%. Usaha kerajaan sudah tentu tidak menjadi sekiranya kita termasuklah rakan-rakan di sektor awam tidak memainkan peranan yang sewajarnya. Justeru pendapat lama bahawa bekerja dalam sektor awam adalah satu jaminan kehidupan seharusnya diubah. Lebih jelas, berubahlah dari segi menunaikan tanggungjawab sebagai penjawat awam.

Bersyukurlah dengan usaha pihak kerajaan BN di peringkat pusat. Walaupun pelbagai tuduhan dan kritikan dilemparkan kepada pimpinan kerajaan sekarang tetapi mereka juga manusia dan mereka juga ada sikap patriotik terhadap negara dan bertanggungjawab terhadap negara. Benar, akan ada menyanggah kata-kata saya ini dengan mengatakan macam-macam termasuk ia adalah usaha menyelamatkan kroni dan sebagainya. Namun, inilah masanya kita bersama bersatu dan bersetia dengan pihak kerajaan dalam mengharungi detik-detik sukar. Usahlah dijadikan fenomena ekonomi kini sebagai taruhan politik yang tidak bernoktah.

Apalah salahnya, kali ini kita melembutkan hati agar berkata syukur dan terima kasih. Mungkin ada antara kita terlupa mengucapkannya kepada Tun Mahathir atas usaha dan strategi nekadnya dalam `mengunci’ nilai ringgit bagi menghadapi serangan spekulator matawang kira-kira 10 tahun yang lalu! Kita mungkin sedar dimana kita ketika ini jika ketika itu kita mengikut telunjuk IMF. Rasanya saya dan rakan-rakan di sektor awam pun mungkin akan dapat merasa bagaimana nilai RM1 hanya mampu untuk memiliki sebiji gula-gula hacks atau kiss me. Maksudnya, akan ramai menjadi jutawan tetapi dengan nilai ringgit yang amat rendah sekali. Bayangkan ringgit kita sama nilainya dengan matawang Rupiah!

Nilai Indeks Komposit di bursa saham juga berlegar-legar antara 800-900 mata. Walaupun harga minyak global semakin merudum tetapi janganlah kita lupa bahawa kerajaan juga sudah melakukan pelbagai strategi dan pakej ransangan ekonomi yang diumumkan adalah usaha kerajaan agar ekonomi negara pada tahun 2009 tidaklah semuram ekonomi kebanyakan negara lain.

Bahang kehangatan politik tanahair seperti kata saya di awal tadi kelihatan semakin hangat. Saya cuma ingin menyentuh satu dua perkara dari banyaknya isu politik yang terjadi akhir-akhir ini. Saya juga tidak mahu mengulas panjang lebar tentang barisan kepimpinan MCA yang baru dimana rata-rata adalah kelompok yang kuat dalam mempertahankan dominasi bangsa mereka. Begitu juga tentang DS Samy Vellu yang bersedia untuk dicabar hatta oleh 100 orang calon Presiden sekalipun. Atau SAPP yang kelihatan semakin kehilangan arah dan parti komponen BN lain khususnya di Sabah yang semakin `garang’ dengan agenda mempertahankan bangsa sendiri (meskipun berkata berlapikkan demi kepentingan penduduk Sabah yang berbilang agama dan bangsa). Apatah lagi tentang parti-parti pembangkang lain yang mula terpaksa menerima hakikat bahawa berangan boleh tapi janganlah sampai bermimpi untuk menjadi PM dan memerintah kerajaan Pusat dengan melalui `pintu belakang’. Kesannya boleh membuatkan seseorang yang kuat bermimpi itu mengigau dan akhirnya menjadi lawak `antarabangsa’ apabila ada yang mengangkat sumpah sebagai PM dan kabinet baru di hadapan potret DYMM Sultan Mizan, YDP Agong kita!

Yang pastinya saya ingin berkongsi sedikit pandangan tentang parti UMNO yang saya juga menjadi ahlinya. Dalam UMNO memang banyak cerita. Tidak habis cerita yang berbagai bentuk semasa mesyuarat dan pemilihan cawangan beberapa bulan lalu, cerita di peringkat bahagian rupanya lagi sensasi dan kontroversi. Seperti kata saya dalam tulisan yang lalu, UMNO dengan suasana semasa kalau diberi ranking dari 1-10 mungkin sudah menghuni ranking antara 5 terbawah. Tapi sebab parti lain samada dalam komponen BN mahupun parti pembangkang pun dalam masa yang sama ini turut berhantakan dan bocor disana sini maka kata orang lebih baik jaga dulu tepi kain sendiri. Mana parti yang boleh berkata merekalah yang paling stabil ketika ini? Parti `nyamuk’ sekalipun sebenarnya berkocak walaupun berita mereka jarang benar didengari melalui media massa pro kerajaan mahupun pembangkang.

Yang menarik dalam UMNO saat ini, bukan lagi soal DS Najib sudah `konpem’ akan menjadi Presiden UMNO atau pertandingan dalam semua jawatan tertinggi UMNO tetapi cerita kaum ibu atau lebih rasmi disebut sebagai Pergerakan Wanita UMNO. Saya `segan’ juga mahu menyentuh soal wanita dalam UMNO ini sebab saya lebih cenderung kepada melihat hala tuju Pemuda UMNO yang saya juga sudah berada didalamnya tapi kata orang yang panas sekarang ini adalah cerita mereka dalam wanita. Kalau yang lain seperti Pemuda, Puteri mahupun kepimpinan induk UMNO sudah sedikit perlahan nadanya dalam soal siapa lawan siapa tapi mereka yang dicop sebagai wanita dalam UMNO pula macam enjin diesel (bukan die in sel!!!). Tidak mengapalah untuk lebih adil, saya cuma ingin menyentuh betapa soal inginkan kuasa tidak kira individu itu siapa apalagi mereka yang seharusnya lebih lembut dan terkenal dengan nilai keibuan. Teori Maslow jelas mengatakan bahawa kuasa adalah kemuncak keinginan seseorang individu. Saya sudah mampu menggeleng kepala apabila mereka sepertimana kita tahu bahawa `syurga dibawah telapak kaki ibu’ kini juga sudah menonjolkan sikap `gila kuasa’, ego dan semakin agresif. Perempuan kata orang kalau sudah mengamuk, boleh lupa siapa diri mereka sebenarnya. Itulah sebabnya mereka dikurniakan dengan 9 nafsu dan cuma 1 akal!

Saya mungkin bukanlah orang yang paling tepat untuk menegur apalagi mencampuri apa yang berlaku dalam kelambu mereka. Tetapi jadikanlah ini sebagai satu daripada banyaknya perkara yang perlu diperhalusi khususnya dalam memperkasakan UMNO itu sendiri supaya nasib di PRU12 lalu tidak sama sekali berulang di PRU13 akan datang. Bagi konteks UMNO di Sabah, janganlah dianggap segala permasalahan yang timbul terutamanya sepanjang tempoh pemilihan ini sebagai masalah kecil dan bermusim. Jika PRU13 lebih kurang dalam tempoh 3-4 tahun akan datang, maka gunakanlah tempoh yang ada sesempurna yang boleh. Mewujudkan perpaduan dan mengikis keegoan harus dipandang sebagai cabaran utama selain usaha untuk kekal berkuasa sepertimana sedia ada. Politik di Sabah mempunyai keunikan tersendiri. Penduduknya juga unik dan dalam kebanyakan masa sukar dijangka.

Saya berharap dapat menyumbang idea dan input yang berguna untuk dikongsi bersama agar usaha memperkasa itu mencapai kejayaan. Bukan mudah tapi apa salahnya berusaha!!!

SALAM TRANSFORMASI...

No comments: