Wednesday, September 24, 2008

SUKARKAH UNTUK BERSYUKUR?


Oleh Warisan Tamar

KHAMIS 25 September 2008, harga runcit minyak bagi petrol dan diesel sepertimana diputuskan oleh kabinet telah diturunkan sebanyak 10 sen setiap liter iaitu dari RM2.55 seliter untuk petrol kepada RM2.45 seliter. Manakala diesel dikurangkan daripada RM2.50 seliter kepada RM2.40 seliter berkuatkuasa pada jam 0001hrs hari ini.

Rasional kerajaan adalah selepas meneliti perkembangan harga minyak global dimana berlaku penurunan harga minyak global hingga ke paras bawah USD100 setong. Ia juga disifatkan sebagai `hadiah’ kerajaan kepada rakyat sempena menyambut Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba. Namun demikian, ada sekurang-kurangnya dua reaksi daripada rakyat amnya.

Reaksi 1 – Positif dalam menerima keputusan pihak kerajaan. Penurunan harga ini walaupun nampak kecil besar maknanya kepada mereka.

Reaksi 2 – Negatif dalam menerima keputusan kerajaan iaitu beranggapan penurunan ini amat kecil dan tidak memadai dengan faktor penurunan harga minyak global. Mereka merasakan penurunan ini tidak memberi kesan yang wajar terhadap pola perbelanjaan atau penggunaan minyak.

Pada saya senario ini adalah normal dalam sesebuah kehidupan dimana sudah tentu dalam apa jua perkara lazimnya akan ada sekurang-kurangnya dua pihak yang mempunyai persepsi dan reaksi yang berbeza. Saya optimis bahawa pihak kerajaan telah meneliti pelbagai penjuru aspek sebelum membuat keputusan sedemikian rupa.

Janganlah juga kita cepat lupa bahawa kerajaan juga sudah pun memberi malah membayar rebat kepada majoriti pemilik kenderaan sebelum ini. Justeru, eloklah kita berfikir dengan waras dan adil dalam menghakimi sesuatu keputusan. Pendek kata, apa salahnya kita bersyukur dengan nikmat yang kita kecapi sebelum dan ketika ini. Dengan bersyukur kepada tuhan dan mendoakan yang baik-baik berlaku dalam negara, saya percaya kita akan menjadi warganegara dan umat yang lebih waras dan bijaksana. Sama-sama kita berdoa dibulan yang mulia ini supaya lebih banyak perkara baik akan dikurniakan kepada kita dan negara amnya dengan izin-Nya.

WT- Sama-sama kita mencari malam Lailatul kadar...insyaAllah!

No comments: