Pemilihan UMNO 2013 yang ditangguhkan pada tahun lepas disebabkan PRU13 pasti menjanjikan debaran hebat sehebat PRU13. Dengan format dan kaedah pemilihan yang baru dimana melibatkan lebih ramai pemilih iaitu ahli UMNO. Yang paling penting adalah pemimpin yang akan dipilih nanti adalah teraju kepimpinan UMNO dan BN bagi menghadapi PRU14 akan datang. Cabaran PRU14 amat pasti berbeza dan pasti lebih hebat dan ganas berbanding PRU13!
Amat penting transformasi politik dalam UMNO direalisasikan oleh ahli UMNO bagi berhadapan dengan cabaran yang sangat mencabar. Pemimpin dinosaur yakni yang sudah terlalu lama sepatutnya bermuhasabah diri. Berundurlah secara terhormat! Jangan ingat UMNO dan BN hanya anda yang boleh menerajuinya. UMNO dan BN tidak akan mati tanpa anda. Jika ahli UMNO tidak berfikiran lebih maju maka barisan kepimpinan UMNO tidak akan berubah dan pasti akan lebih terkulai pada PRU14.
Jangan beranggapan UMNO sudah terlalu kuat walaupun menang 88 kerusi Parlimen pada PRU13. Hakikatnya di Selangor umpamanya UMNO semakin terpinggir. Di Kelantan juga menerima nasib serupa. Di Sabah yang menjadi deposit tetap UMNO dan BN sudah mula goyah dengan mengambilkira majoriti sebenar beberapa YB UMNO/BN yang menurun. Bagaimana kita perlu menangani dan meraih undi orang muda yang pasti bertambah pada PRU14 akan datang?
Ayuh ahli UMNO! Kita lakukan perubahan bersama DS Najib.
KUALA LUMPUR 31 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, pemilihan
parti bagi semua peringkat iaitu daripada cawangan hingga Majlis
Tertinggi (MT) akan dijalankan pada tahun ini.
Presiden UMNO berkata, untuk proses pemilihan kali ini, format baru
akan digunakan iaitu berdasarkan beberapa pembaharuan yang telah dibuat
dalam Perlembagaan parti antaranya pemilihan jawatan MT hingga Presiden
dilakukan oleh hampir 150,000 perwakilan di 191 bahagian.
Sambil mengakui sistem baru itu mencabar dan begitu kompleks beliau
berkata, pemilihan pemimpin-pemimpin UMNO kali ini melibatkan jumlah
perwakilan yang amat besar berbanding sistem pemilihan sebelum ini.
"Jumlah perwakilan yang hampir 150,000 orang itu tidak termasuk
jumlah perwakilan yang akan memilih pemimpin-pemimpin di peringkat sayap
yang terdiri daripada Pemuda, Wanita dan Puteri.
"Setiap sayap mempunyai 100,000 perwakilan yang akan memilih
pemimpin-pemimpin mereka. Saya akui jumlah ini cukup besar walaupun
tidak sebesar pengundi yang diuruskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya
(SPR)," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT)
UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini
malam ini.
Bagi memudahkan perjalanan proses pemilihan, Najib berkata, pihak
pengurusan UMNO yang diketuai oleh bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri
Tajol Rosli; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku
Mansor dan Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Abd. Rauf Yusoh akan turun ke
negeri-negeri untuk memberikan penerangan tentang proses pemilihan baru
itu.
Beliau berkata, antara perkara utama yang akan disentuh oleh pihak berkenaan ialah mengenai kefahaman perwakilan serta logistik.
"Oleh itu kita akan menunggu maklum balas dari mereka sebelum
pemilihan di peringkat cawangan dapat dijalankan sepenuhnya" ujarnya.
Atas sebab itu juga beliau menjangkakan pemilihan di peringkat cawangan hanya dapat dimulakan pada 15 Julai sehingga 31 Ogos.
Bagaimanapun ujarnya, tarikh untuk pemilihan bagi peringkat bahagian dan MT masih belum ditetapkan lagi.
Menjawab satu soalan beliau berkata, pemilihan jawatan MT hingga
Presiden oleh hampir 150,000 perwakilan itu akan dibuat serentak pada
satu tempoh ditetapkan.
"Cara mana pemilihan kita akan tentukan sama ada dengan cara
mengangkat tangan, guna kertas undi, guna dakwat kekal atau sebagainya,"
ujarnya.
Ditanya sama ada beliau bersedia untuk dicabar bagi jawatan Presiden,
Najib berkata, UMNO merupakan sebuah parti terbuka dan sebuah parti
yang benar-benar demokratik.
"UMNO tidak seperti parti-parti yang lain," katanya sinis.